
Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang, mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk tindakan mempermainkan atau menghina mana-mana agama, termasuk agama Hindu, dalam satu insiden yang berlaku di stesen radio tempatan, Era FM.
Dalam kenyataan medianya, beliau menegaskan bahawa perbuatan seperti itu bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas keharmonian di Malaysia.
Oleh itu, beliau mengingatkan rakyat agar sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama serta budaya di negara ini.
“Sebagai sebuah negara majmuk, kita harus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa. Sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya.
Terdahulu, dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, penyampai radio Nabil, Azad, dan Radin telah memohon maaf atas video yang mencetuskan kontroversi itu. Mereka mengakui tidak sensitif, terutama kepada masyarakat India, dalam kandungan yang disiarkan.
Video berkenaan, yang kini telah diturunkan daripada platform media sosial stesen tersebut, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.
Klip itu mengundang kritikan meluas, dengan kebanyakan pihak menganggapnya sebagai penghinaan terhadap tradisi Hindu, khususnya upacara suci yang dilakukan ketika Thaipusam bagi menghormati Dewa Murugan.
Insiden itu turut mencetuskan reaksi keras daripada Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli Parlimen Tapah, M. Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka daripada pihak terbabit serta menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap Era FM.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima aduan daripada pelbagai pihak mengenai tindakan kakitangan stesen radio berkenaan.
YB Datuk Aaron Ago Dagang turut menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk bertindak mengikut peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Akta ini bertujuan memastikan bahawa kandungan media massa yang mempermainkan atau menghina agama dikenakan tindakan sewajarnya.
Di akhir kenyataannya, Menteri Perpaduan mengingatkan semua pihak supaya tidak mencetuskan ketegangan atau perasaan benci antara penganut agama.
Beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara harus dipandang serius.