Menteri Agama Terima Kunjungan Yabang Khalifah, Bincang Dakwah Melalui Muzik
- oleh MDaily Editor
- 30 Mar 2026 3:42 pm
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kini dalam fasa perbincangan untuk merangka kerjasama strategik bersama penyanyi tersohor, Yabang Khalifah, bagi memperkasakan penyampaian dakwah menerusi karya seni muzik di negara ini.
Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan, berkata inisiatif tersebut diambil setelah melihat potensi besar penggiat seni dalam menyentuh emosi masyarakat, sekali gus menjadi medium efektif untuk menyampaikan mesej ketuhanan yang lebih santai namun mendalam.
Beliau menyifatkan kunjungan Yabang sebagai satu pertemuan bermakna yang menggabungkan elemen hiburan dan kerohanian demi manfaat ummah.
”Beliau (Yabang) adalah seniman yang bukan sekadar membawa muzik, tetapi membawa jiwa untuk masyarakat. Dengan lagu baharu berjudul ‘Sejadah’, mesejnya sampai terus ke lubuk hati—padu, jujur, dan menginsafkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
Dr. Zulkifli turut memuji pendekatan unik vokalis kumpulan Khalifah itu yang berjaya mengekalkan identiti muzik rock namun sarat dengan pengisian jiwa yang mampu mendekatkan pendengar kepada pencipta.

Dr. Zulkifli menyifatkan aura Yabang sebagai “Rock tetapi ada ruh; keras tetapi penuh makna.”
”Perbincangan sedang dijalankan bagi menentukan bentuk kolaborasi terbaik antara JPM (Hal Ehwal Agama) dan Yabang Khalifah.”
”Usaha ini selari dengan prinsip Fastabiqul Khairat (berlumba-lumba melakukan kebaikan) dalam kerangka Malaysia Madani.” katanya.
Pertemuan itu turut memperlihatkan komitmen kementerian untuk memastikan syiar Islam terus subur dan mekar di bumi Malaysia menerusi pendekatan kreatif yang inklusif bagi semua lapisan masyarakat.




