Menteri Agama Santuni Kariah Masjid Papan, Raudhatun Nahrain, Puji Pengisian Dinamik Ramadan
- oleh MDaily Editor
- 8 Mar 2026 10:34 pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, meluangkan masa menyantuni kariah di beberapa masjid baharu di Pulau Pinang dalam rangka lawatan kerja santai bagi meninjau aktiviti pengimarahan sepanjang bulan Ramadan.
Antara lokasi yang diziarahi beliau termasuklah Masjid Papan Kampung Pertama dan Masjid Raudhatun Nahrain, Taman Sungai Dua Utama, sebelum beliau dijadualkan menghadiri program utama bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Masjid Mengkuang Titi.
Dalam tinjauan tersebut, beliau menyatakan rasa kagum dan syukur melihat fasiliti masjid yang bukan sahaja indah dan selesa, malah dihidupkan dengan pelbagai pengisian rohani dan kemasyarakatan yang dinamik.
”Alhamdulillah, masjid-masjid ini hidup dengan pelbagai aktiviti. Bermula daripada tadarus, tazkirah, sehinggalah kepada gotong-royong menyediakan bubur lambuk serta pameran ilmu sempena Nuzul al-Quran.
”Ini adalah petanda jelas bahawa Islam terus subur, mekar, dan kedudukannya sentiasa terjamin di bumi Malaysia melalui semangat ‘Fastabiqul Khairat’ atau berlumba-lumba mengerjakan kebaikan,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penglibatan generasi muda, beliau memuji inisiatif program Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan yang digerakkan secara aktif di negeri tersebut.
Menurutnya, penglibatan anak muda dalam jawatankuasa belia masjid merupakan satu transformasi positif dalam memastikan institusi masjid kekal relevan sebagai pusat penyatuan ummah.
”Apabila generasi muda mula mengambil peranan dan diberi kepercayaan untuk memakmurkan masjid, ia menjadi jaminan bahawa syiar Islam akan terus terpelihara dengan nafas baharu yang lebih segar.
”Inilah aspirasi Malaysia Madani masjid yang hidup dan ummah yang berpadu tanpa mengira latar belakang,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyebarkan nilai-nilai kebaikan dan keharmonian sepanjang bulan yang mulia ini.
Siri lawatan santai tersebut turut dihadiri oleh wakil kepimpinan agama tempatan dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).




