Ikuti Kami:

Menteri Agama Beri Komitmen Penuh Realisasi Visi Pembangunan Insan PMX

Menteri Agama Beri Komitmen Penuh Realisasi Visi Pembangunan Insan PMX

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menyokong visi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk memastikan pembangunan negara bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan dan panduan al-Quran.

Menterinya, Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, langkah itu penting bagi memastikan kemajuan material yang dicapai Malaysia tidak lari daripada landasan akhlak dan integriti yang menjadi teras kepada kestabilan negara.

“JPM (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh penegasan YAB Perdana Menteri bahawa pembangunan negara mesti berteraskan nilai insan. Kita mahu kemajuan yang dicapai kekal berasaskan nilai-nilai murni agar ia membawa rahmat kepada seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebagai langkah proaktif, Dr. Zulkifli turut mengumumkan peluncuran Mushaf Malaysia Madani, sebuah inisiatif yang direka khas untuk membentuk generasi yang celik al-Quran dengan sentuhan teknologi moden.

Mushaf tersebut bukan sekadar naskhah bacaan biasa, malah menampilkan gabungan unik seni khat, identiti tempatan, serta teknologi digital interaktif.

“Ia adalah pendekatan segar bagi menggalakkan umat Islam, khususnya generasi muda, untuk bukan sahaja membaca, malah mentadabbur dan menghayati setiap kalam Allah SWT dalam kehidupan seharian,” jelas beliau.

Menurut Dr. Zulkifli lagi, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan untuk membina generasi yang berkemajuan namun tetap seimbang dari segi rohani.

“Kita komited untuk memperkukuh kefahaman al-Quran bagi membina masyarakat yang berintegriti dan berteraskan nilai. Inilah intipati sebenar dalam merealisasikan gagasan Malaysia Madani yang dibawa oleh kepimpinan negara,” tambahnya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersempena dengan keberkatan bulan Ramadan yang kini memasuki hari ke-26, sekali gus menyeru umat Islam untuk kembali kepada al-Quran sebagai kompas kehidupan dan pembangunan negara.

Loading...