Ikuti Kami:

Menjelang Sambutan 30 Tahun: Menara Kuala Lumpur Tekad Jadi Ikon Pelancongan Masa Depan

Menjelang Sambutan 30 Tahun: Menara Kuala Lumpur Tekad Jadi Ikon Pelancongan Masa Depan

Menara Kuala Lumpur, mercu tanda ikonik ibu kota, mengukuhkan hala tuju strategiknya sebagai destinasi pelancongan masa depan yang dipacu oleh pengalaman unik, selari dengan sambutan ulang tahun ke-30 menara itu dan kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Di bawah pengurusan LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), menara setinggi 421 meter itu kini melalui fasa transformasi daripada sekadar struktur telekomunikasi kepada hab pelancongan moden yang menyokong pertumbuhan ekonomi pelawat serta memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar raya global.

Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Encik Khairil Faizal bin Hj. Othman, berkata fokus utama syarikat adalah untuk memastikan Menara Kuala Lumpur kekal relevan melalui pengisian program yang bermatlamat dan kerjasama strategik.

“Memasuki tahun ke-30 operasi, visi kami cukup jelas iaitu ‘mempersiapkan masa depan’ (future-proof) menara ini menerusi kurasi pengalaman pelanggan yang luar biasa bagi menyokong aspirasi pelancongan negara,” katanya semasa Kuala Lumpur Tower Media Night, di sini, semalam.

Evolusi menara ini digerakkan oleh strategi placemaking jangka panjang yang merangkumi penawaran nilai merentasi pengalaman pelawat imersif, hospitaliti premium, serta pengurusan acara bertaraf dunia.

Antara tarikan utama yang terus menjadi daya tarikan termasuklah Sky Terrace, Glass Box, dek pemerhatian cuaca terbuka, serta pengalaman kulinari eksklusif di Restoran Berputar ORBIT dan ruang acara mewah seperti HEMISFERA Luxury Sky Hall.

Sempena VM2026, Menara Kuala Lumpur bakal memperkenalkan kalendar acara sepanjang tahun yang merangkumi pameran kebudayaan, sambutan perayaan nasional, dan program komuniti.

Puncak sambutan ulang tahun ke-30 menara itu pula dijadualkan pada Oktober 2026 dengan pelbagai pakej promosi bersepadu.

Reputasi menara ini terus diperkukuh menerusi beberapa pengiktirafan baru-baru ini, termasuk anugerah TRIP.BEST 2025 Global 100 Nightlife oleh Trip.com Group dan rekod Malaysia Book of Records bagi acara Highest Altitude Lantern Walkabout.

Sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh di dunia, Menara Kuala Lumpur kini menerima hampir satu juta pelawat setiap tahun.

Dengan transformasi yang sedang rancak berjalan, ia dijangka terus menjadi pemacu utama dalam ekonomi pengalaman dan pelancongan Malaysia bagi generasi akan datang.

Komen
Loading...