Ikuti Kami:

Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai Bawa Trauma Pasung Zaman Silam

Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai Bawa Trauma Pasung Zaman Silam

Helroad Films kembali dengan kesinambungan filem seram yang pernah mencetus fenomena pada tahun 2022 menerusi Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai, sebuah karya yang mempertemukan elemen sejarah, budaya dan trauma masyarakat Nusantara.

Ketika ditayangkan tiga tahun lalu, Menjelang Magrib mendapat sambutan yang memberangsangkan di Indonesia dan Malaysia.

Kini, ‘spin-off’ filem ini hadir dengan penceritaan lebih mendalam, mengangkat isu pasung—rawatan tradisional terhadap pesakit mental yang diamalkan pada tahun 1920 ketika Indonesia masih berada di bawah penjajahan Belanda.

Filem ini mengisahkan Giandra (Aditya Zoni), seorang doktor muda lulusan Universiti STOVIA yang terpanggil menyiasat nasib seorang gadis desa bernama Layla (Aisha Kastolan) yang dipasung oleh seorang dukun di Desa Karuhun.

Kisah Layla turut mendapat perhatian masyarakat selepas dilaporkan wartawan kacukan Belanda-tempatan, Rikke (Aurelia Lourdes). Setibanya di desa terpencil di kaki gunung itu, Giandra disambut Rikke dan mula menyelami misteri yang menyelubungi komuniti tersebut.

Majlis tayangan media filem ini berlangsung di TGV 1 Utama malam semalam dengan kehadiran pengarah dan penerbit, Helfi Kardit, serta pelakon utama Aditya Zoni.

Aditya berkongsi salah satu pengalaman penggambaran paling mencabar yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

“Untuk babak kolam darah itu, kami menjalani penggambaran sekitar jam 2 pagi dalam cuaca yang sangat sejuk, kira-kira 13 darjah Celsius kerana lokasi kami memang di kawasan pergunungan.

“Saya perlu terjun ke dalam kuburan yang dipenuhi darah. Walaupun dialognya hanya satu ayat, saya terpaksa mengulang sehingga 15 kali kerana tidak dapat menyebutnya dengan betul. Itu antara cabaran terbesar saya.” katanya.

Sementara itu, Helfi menjelaskan bahawa filem ini diinspirasikan daripada pengalaman sebenar yang dilaluinya ketika zaman kanak-kanak di Sumatera.

“Saya pernah ada seorang teman yang dipasung, dan dia akhirnya meninggal. Kisah itu sangat melekat dalam ingatan saya. Saya mahu mengangkat sisi kemanusiaan di sebalik kisah pasung ini. Saya juga mahu menampilkan horor yang ada latar budaya dan sejarah yang kuat.” katanya.

Helfi turut menambah bahawa Menjelang Magrib 2 bukan sekadar menampilkan hantu semata-mata, sebaliknya turut menggabungkan unsur monster dan konflik ilmu hitam untuk memberikan dimensi seram yang lebih segar.

“Saya sebenarnya penggemar monster. Jadi saya cuba membawa elemen itu supaya penonton bukan hanya melihat hantu, tetapi juga ancaman lain yang lebih besar. Industri seram Asia Tenggara sangat berkembang, dan saya mahu menawarkan sesuatu yang berbeza.” katanya.

Selain Aditya Zoni dan Aisha Kastolan, filem ini turut dibintangi Ajeng Fauziah sebagai Saidah, Muthia Datau sebagai Nenek Layla, dan Aurelia Lourdes sebagai Rikke.

Diedarkan oleh Empire Film Solutions, filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 20 November 2025.

Komen
Loading...