Ikuti Kami:

Menjaga Hati Asia Tour 2025 Singgah di Kuala Lumpur September Ini

Menjaga Hati Asia Tour 2025 Singgah di Kuala Lumpur September Ini

Siri jelajah Menjaga Hati Asia Tour 2025 yang dibintangi penyanyi dan komposer muda berbakat, Nadhif Basamalah, akan membuat hentian istimewa di Kuala Lumpur pada 11 September ini.

Konsert yang dijadualkan berlangsung di The Exchange Hall, Petaling Jaya itu bakal menjadi medan buat peminat tempatan menikmati lantunan vokal emas Nadhif secara langsung, dibawakan oleh penganjur bersama After School dan Banyak Bagus Entertainment.

Nadhif yang memulakan debut pada Julai 2022 menerusi lagu Wonder in Time pernah membuka persembahan Tulus dalam siri jelajah Manusia di Makassar.

Namanya terus mencuri perhatian menerusi lagu To Be With Me dan Without Me (Sera) sebelum Penjaga Hati menjadi fenomena di seluruh rantau pada 2023 dengan deretan karya balada seperti Jatuh Cinta Lagi dan Bergema Sampai Selamanya.

Menurut Liaw Sun dari Banyak Bagus Entertainment, Kuala Lumpur adalah salah satu destinasi yang amat dinantikan Nadhif dalam siri jelajahnya kali ini.

“Selain Singapura dan Kota Kinabalu, Sabah, Nadhif teruja untuk bertemu peminat setia di Kuala Lumpur. Ia peluang terbaik untuk peminat merasai sendiri pesona dan keistimewaan persembahan beliau,” katanya.

Kehadiran Nadhif di Kuala Lumpur September ini dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti tahun ini, menjanjikan malam penuh emosi, kehangatan, dan alunan muzik yang memukau.

Tiket bagi Menjaga Hati Asia Tour 2025 Live in Kuala Lumpur kini mula dijual di platform Ticketmelon dengan harga bermula RM138 untuk kategori General Admission (GA), RM 238 untuk VIP dan RM555 untuk kategori VVIP.

Jumlah tiket adalah terhad dan peminat disaran mendapatkannya lebih awal di pautan rasmi www.ticketmelon.com/bbe/nbkl bagi mengelakkan kekecewaan.

Komen
Loading...