Mengubat Luka Lama: Roziana Cindy Lancar Single ‘Tinggalkan Luka’
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Penyanyi berdarah Singapura-Indonesia, Roziana Cindy, tampil dengan karya terbaharu berjudul Tinggalkan Luka, sebuah balada mendalam yang merungkai emosi luka lama dan perjalanan penyembuhan yang penuh keberanian.
Dikenali menerusi kejayaan single Paling Sejati yang dilancarkan November lalu, Roziana terus memperkukuh kehadirannya dalam arena muzik serantau dengan lagu yang menyentuh perasaan ini.
Paling Sejati mencatat hampir 150,000 penstriman di Spotify dan lebih 300,000 tontonan di YouTube, menjadikan Roziana antara wajah baharu yang mula mencuri perhatian ramai.
Dalam Tinggalkan Luka, Roziana berganding bahu dengan komposer terkenal Indonesia, Ilham Baso, yang sebelum ini mencipta lagu popular seperti Bukan Dia Tapi Aku (Judika) dan Menjaga Jodoh Orang Lain (Ara Johari).
Lagu ini disifatkan sebagai karya yang mengetengahkan kekuatan seseorang untuk melepaskan cinta yang menyakitkan dan membina semula jati diri.
“Lagu ini mengingatkan kita untuk melepaskan kesakitan yang pernah melingkari hidup, dan tidak membenarkannya mendefinisikan siapa diri kita hari ini,” ujar Roziana yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif bagi projek ini.
Dengan susunan muzik yang tenang dan vokal yang sarat emosi, lagu ini menonjolkan sisi Roziana yang lebih tulus dan rapuh. Penyampaiannya yang bersahaja tetapi meresap ke jiwa, memperlihatkan kematangan dari segi vokal dan penceritaan lagu.
Ilham Baso pula menyifatkan kerjasama ini sebagai sesuatu yang istimewa. “Roziana memiliki suara yang membawa keanggunan dan kebenaran. Kolaborasi ini membuka ruang untuk menyampaikan pengalaman sejagat tentang kehilangan dan penyembuhan,” katanya dalam kenyataan.
Roziana Cindy, yang memulakan langkah dalam dunia seni menerusi rancangan bakat nyanyian di Mediacorp TV pada 2017, kini dilihat sebagai wajah baharu yang berani menyelami sisi-sisi emosi dalam karya muziknya.
Beliau bukan sahaja menyanyi, tetapi turut terlibat secara langsung dalam penerbitan, membuktikan komitmennya terhadap kualiti dan nilai artistik dalam setiap projek.
‘Tinggalkan Luka’ dilancarkan secara rasmi pada 25 April lalu dan kini boleh distrim melalui semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer.