‘Menduakan Cinta’ Uji Keserasian Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa
- oleh MDaily Editor
- 22 Apr 2026 1:35 pm
Pasangan duet yang semakin mendapat tempat di hati peminat, Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa, kembali mempertaruhkan keserasian mereka menerusi naskhah terbaharu berjudul ‘Menduakan Cinta’.
Setelah berjaya meraih lebih satu juta tontonan menerusi rakaman semula lagu Buat Insan Tersayang sebelum ini, gandingan ini kini beralih ke genre balada yang lebih mencabar emosi dan kematangan vokal.
Mendapat sentuhan komposer tersohor, Eddie Hamid, lagu ini bukan sekadar karya seni biasa, sebaliknya dianggap sebagai satu rintihan jiwa yang memerlukan komitmen penuh daripada kedua-dua penyanyi.
Menurut Ahmad Syafiq, kolaborasi kali ini benar-benar menguji sejauh mana mereka mampu menghidupkan rasa dalam melodi yang puitis.
“Kali ini, kami menguji keserasian dalam genre yang berbeza. Ia bukan sekadar lagu, tetapi satu rintihan jiwa. Menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus bagi memastikan naskhah ini benar-benar sampai ke hati pendengar,” katanya.

Bagi Wawa Shazwa, proses penghasilan single ini mempunyai cabaran tersendiri apabila beliau sedang hamil lima bulan ketika sesi rakaman dijalankan. Walau bagaimanapun, faktor itu tidak menghalangnya untuk memberikan kualiti vokal terbaik.
Lagu yang turut mendapat sentuhan komposer Barr Hadif dan Aiman Zaidi ini menceritakan tentang konflik dua insan yang terpaksa akur pada takdir meskipun kasih masih menebal.
“Ia menyentuh perasaan bersalah apabila seolah-olah ‘menduakan cinta’ yang pernah dibina. Walaupun perasaan sayang itu masih kuat, pilihan untuk berpisah terpaksa dibuat demi kebaikan semua pihak,” jelas Wawa.
Menambah kekuatan promosi lagu ini, Menduakan Cinta telah dipilih sebagai lagu tema (OST) bagi drama bersiri terbaharu di slot Akasia TV3,’Bayangan Lelaki Sempurna’ yang menampilkan barisan pelakon popular seperti Adam Lee, Sweet Qismina dan Nadia Brian
Single terbitan Nova Music Malaysia ini kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasminya boleh ditonton melalui saluran YouTube Nova Music Videos.
