
“Irama dan lagu tak boleh dipisahkan. Kalau dipisahkan, pincanglah lagu dan rosaklah seni.” Kata-kata Tan Sri P. Ramlee ini menjadi inspirasi utama dalam filem baharu berjudul Mencari Ramlee yang membawa semangat seni Melayu ke layar perak.
Filem ini bukan sebuah kisah benar tentang P. Ramlee tetapi penuh dengan unsur seni dan budaya yang pernah dibawa oleh Seniman Agung itu.
Mencari Ramlee mengisahkan Zakaria, seorang peniru gaya (impersonator) P. Ramlee yang sedang menghadapi krisis kewangan. Untuk melangsaikan hutang kepada Yusuf, seorang gangster tempatan, Zakaria terpaksa menyamar sebagai P. Ramlee demi menyenangkan Zaiton, kakak Yusuf yang menghidap amnesia dan mempercayai Zakaria adalah seniman agung tersebut.
Pengarah dan pelakon Megat Sharizal berkata filem ini dihasilkan untuk menghidupkan semula rasa cinta terhadap seni klasik Melayu.
“Untuk beberapa tahun sewaktu saya kecil, saya dibesarkan oleh datuk dan nenek saya. Mereka mempunyai koleksi hampir semua filem Tan Sri P. Ramlee. Itulah pendedahan pertama saya kepada dunia filem,” katanya.
Menurutnya lagi, filem ini diharap dapat mendekatkan penonton kepada legasi Tan Sri P. Ramlee, sambil turut menghargai bakat-bakat baharu dalam industri seni yang sedang berkembang bersama kemajuan filem tempatan.
“Harapan saya dengan filem ini adalah agar ia dapat mendekatkan dan merapatkan penonton kepada legasi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Namun, dalam masa yang sama, walaupun kita menghargai dan menyanjung tinggi bakat beliau, kita juga harus memberi penghargaan kepada bakat-bakat baharu dalam industri seni yang sedang berkembang pesat selari dengan kemajuan karya-karya filem tempatan masa kini.” kata Megat.
Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon terkenal seperti oleh Tony Eusoff sebagai Zakaria, Sofia Jane sebagai Zaiton, Mimi Lana sebagai Yasmin, dan Megat Sharizal sebagai Yusuf,
Filem ini turut menampilkan pelakon-pelakon hebat lain seperti Azhan Rani, Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Sharifah Amani, Bront Palarae, Iedil Dzuhrie, dan Vanidah Imran.
Istimewa sekali, Najua P. Ramlee, cucu kepada Seniman Agung P. Ramlee, juga turut berperanan dalam filem ini, menambahkan nilai sentimental dan penghormatan kepada legasi seni yang diwarisi.
Pitahati telah menyumbang muzik yang menambahkan keindahan cerita, manakala gabungan drama, komedi dan emosi telah memberi kelainan dan menjadikan filem ini lebih menarik selepas ditonton.
Mencari Ramlee juga menerima pengiktirafan antarabangsa apabila terpilih untuk ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR).
Malam gala tayangan perdana telah berlangsung di GSC Mid Valley dan bertemakan era 70-an. Para tetamu hadir dengan pakaian klasik, menjadikan suasana lebih meriah dan penuh nostalgia.
Acara tersebut turut dihadiri barisan pelakon, pengarah serta rakan industri yang memberikan sokongan penuh terhadap usaha mengangkat kembali seni dan warisan budaya Melayu.
Ia diterbitkan oleh Playground Film Sdn Bhd dengan sokongan FINAS dan akan diedarkan oleh D’Ayu Pictures. Filem ini akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula 19 Jun 2025.