Ikuti Kami:

Menara Kuala Lumpur Santuni Pelajar Maahad Tahfiz dalam Majlis Berbuka Puasa

Menara Kuala Lumpur Santuni Pelajar Maahad Tahfiz dalam Majlis Berbuka Puasa

Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) meneruskan komitmennya dalam menyantuni masyarakat dengan meraikan pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran dalam satu majlis berbuka puasa khas yang diadakan di Menara Kuala Lumpur.

Program ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Hop On Hop Off, bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim tetapi juga memberikan pengalaman bermakna kepada para pelajar tahfiz.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), MKLSB menyampaikan sumbangan bagi pembangunan dan pendidikan maahad serta duit raya kepada para pelajar.

Inisiatif ini adalah usaha syarikat untuk berkongsi rezeki dan memberi motivasi kepada golongan muda dalam menuntut ilmu agama.

Bagi memeriahkan lagi pengalaman mereka, pelajar-pelajar tahfiz turut dibawa melawat beberapa tarikan utama Menara Kuala Lumpur seperti Sky Deck, Sky Box, dan Observation Deck.

Lawatan ini memberikan mereka peluang menikmati keindahan panorama ibu kota dari ketinggian, sekali gus menjadikan kunjungan mereka lebih istimewa.

Ketua Pegawai Eksekutif MKLSB, Encik Nazli bin Saad, menyatakan bahawa program ini bukan sekadar acara berbuka puasa tetapi satu usaha syarikat untuk mendekati masyarakat dan menyebarkan nilai-nilai murni di bulan Ramadan.

“Kami amat berbesar hati untuk berkongsi rezeki dengan pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran serta memberi mereka pengalaman yang unik di Menara Kuala Lumpur. Semoga sedikit sumbangan ini dapat membantu mereka dalam perjalanan menuntut ilmu dan memberikan keceriaan menjelang Syawal,” katanya.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa selamat serta laungan azan oleh pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran sebelum para tetamu menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan di TEMU Rasmi.

Hidangan khas ‘Dari Dapur TEMU’ turut diperkenalkan dan akan tersedia untuk orang ramai sepanjang Ramadan dari 5 hingga 28 Mac 2025.

MKLSB berharap program sebegini dapat diteruskan sebagai satu usaha berterusan dalam membantu golongan yang memerlukan serta memupuk semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.

Komen
Loading...