Menara Kuala Lumpur Lancar Maskot ‘Kay Elle’, Tawar RM2,000 Untuk Rekaan Ikonik
- oleh Mohd Indera
- 14 Aug 2025 1:22 pm

Menara Kuala Lumpur hari ini memperkenalkan maskot terbaharunya, Kay Elle, yang menjadi simbol kemesraan, kepelbagaian dan perpaduan rakyat Malaysia.
Bagi memeriahkan pelancarannya, Menara Kuala Lumpur menganjurkan Pertandingan Rekaan Maskot “Befriend Kay Elle” yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 kepada pemenang, selain pas masuk setahun ke Menara Kuala Lumpur, pakej cenderamata eksklusif dan set maskot terpilih.
Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd, Encik Khairil Faizal Hj Othman, berkata Kay Elle bukan sekadar maskot biasa, malah melambangkan identiti rakyat Malaysia.
“Kay Elle adalah personaliti, pencerita dan simbol kita semua yang mesra dan berbangga dengan warisan, kaya kepelbagaian dan bersatu dalam semangat. Pertandingan ini adalah peluang untuk rakyat Malaysia mencipta ikon seterusnya yang boleh diiktiraf di dalam dan luar negara,” katanya.
Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai kreativiti untuk mereka maskot baharu yang bakal menjadi ‘rakan ikonik’ kepada Kay Elle.
Peserta perlu menghantar satu rekaan lengkap dengan cerita ringkas tentang watak tersebut, termasuk nama pereka, personaliti, serta peranan maskot dalam dunia Kay Elle.
Maskot terpilih akan dijadikan sebahagian identiti rasmi Menara Kuala Lumpur dan dihasilkan sebagai koleksi cenderamata eksklusif.
Penyertaan boleh dihantar melalui borang Google di https://forms.gle/UCLrwow1zqDJiTMZ6. Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman rasmi www.kltower.com atau hubungi talian +603 2630 3033.