Ikuti Kami:

Memori: “Kami Masukkan Sepenuh Hati Dan Jiwa” – Abid Hussain

Memori: “Kami Masukkan Sepenuh Hati Dan Jiwa” – Abid Hussain

Selepas mencipta kejayaan membanggakan di lebih 20 festival filem antarabangsa, filem tempatan Memori bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 31 Julai ini.

Diarahkan oleh Abid Hussain dan diterbitkan oleh Creative Stew Sdn. Bhd. dengan kerjasama Golden Screen Cinemas, Memori mengangkat kisah menyayat hati tentang hubungan antara seorang bapa dan anak lelaki yang bergelut dengan sejarah silam dan kesan penyakit Alzheimer.

Berlatarbelakangkan keindahan Kuala Terengganu, filem ini diinspirasikan daripada kisah benar.

Menurut pengarah, Abid Hussain, filem ini merupakan projek yang sangat peribadi dan telah melalui proses pembikinan yang panjang serta mencabar.

“Kami telah memasukkan sepenuh hati dan jiwa dalam menghasilkan Memori. Prosesnya bukan mudah. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk disempurnakan,”

“Ia melalui pelbagai peringkat sukar bagi memastikan hasilnya mampu memberi kesan mendalam kepada penonton,” katanya di sidang media Tayangan Perdana Memori di GSC Mid Valley semalam.

Beliau turut menyatakan bahawa setelah menonton filem itu berpuluh kali sepanjang proses suntingan, emosi yang dirasainya jauh lebih mendalam berbanding tontonan pertama penonton.

“Emosi yang ada dalam filem ini sangat peribadi buat saya dan tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan pasukan produksi serta para pelakon yang hebat di sisi saya,” tambahnya.

Memori menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Dato’ Hilal Azman, Hisyam Hamid, Diana Danielle, Anas Ridzuan, Aanantha Rajaram, Pushpa Narayan dan Aajaay Suresh.

Diana Danielle menyifatkan pengalamannya dalam filem Memori sebagai sesuatu yang sangat emosional dan bermakna.

“Setiap hari di set terasa seperti satu perjalanan kerja yang bermakna. Kami banyak bereksperimen dan saling menyokong secara emosi. Naskhah ini bukan mudah, kami jayakan dengan penuh kasih sayang, sebagai satu penghormatan kepada arwah ayah Abid. Kami amat bersyukur diberi kepercayaan untuk menghidupkan kisah yang begitu istimewa ini,” katanya.

Penasihat Penerbitan Filem GSC Movies, Encik YK Tung berkata, kejayaan filem ini merupakan bukti kekuatan kandungan tempatan yang mampu menembusi pasaran global.

“Kami sangat berbangga dapat bekerjasama dalam menjayakan Memori, dan menyaksikan bagaimana sebuah filem independen tempatan mendapat pengiktirafan antarabangsa kerana kekuatan penceritaannya,” katanya.

Filem Memori telah menerima pengiktirafan di pelbagai festival filem antarabangsa termasuk di Los Angeles, New York City, Mexico, China, Berlin, India, Tokyo, Singapura dan Filipina.

Antara anugerah yang dimenangi termasuk Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Suntingan Terbaik dan Penerbit Terbaik.

Memori akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 31 Julai 2025.

Komen
Loading...