Ikuti Kami:

‘Memilih Kamu’ Satukan Suara Black & Adira

‘Memilih Kamu’ Satukan Suara Black & Adira

Dua bintang popular tanah air, Black Hanifah dan Adira Suhaimi, disatukan dalam sebuah karya duet balada berjudul Memilih Kamu.

Karya sentuhan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito ini bukan sahaja menjadi simbol penyatuan dua suara berbeza, malah memberi nafas baharu dalam kerjaya seni kedua-dua penyanyi tersebut.

Menurut Mas Dewangga, lagu ini sememangnya ditulis khas untuk Black dan Adira kerana ia turut dipilih sebagai lagu tema (OST) sebuah drama tempatan.

“Sejak awal lagi, saya sudah diberikan sinopsis drama berkenaan. Jadi, saya tahu siapa penyanyinya dan proses penciptaan memang dirangka khusus bersesuaian dengan mereka berdua. Memandangkan jalan cerita melibatkan dua watak utama, format duet dirasakan paling tepat untuk menyampaikan emosi yang diinginkan,” katanya.

Bagi Hanifah Muhammad Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black, Memilih Kamu membawa kisah persahabatan yang akhirnya berakhir dengan penyatuan cinta.

“Watak lelaki dalam lagu ini memilih untuk berkorban, menyokong dari jauh kerana wanita yang disayanginya sudah berpasangan. Namun akhirnya, takdir menemukan mereka. Ia sebuah kisah penuh emosi,” jelasnya.

Black turut menyifatkan pengalaman rakaman lagu ini sebagai sesuatu yang ringkas tetapi bermakna.

“Hanya sekitar 45 minit diperlukan untuk menyiapkan rakaman. Hasil akhirnya memberikan bunyi baharu yang segar dan berbeza daripada karya saya sebelum ini,” katanya.

Bagi Ratu Runut Bunyi, Adira atau nama penuh Siti Adira binti Suhaimi pula, walaupun rakaman dilakukan secara berasingan, emosi lagu tetap sampai kepada pendengar.

“Walaupun tidak bersama, perasaan itu tetap hidup. Lagu ini membawa mesej bahawa menyayangi seseorang tidak semestinya memiliki,” katanya.

Beliau menambah, lirik yang kuat menjadikan proses rakaman lebih mudah dan lancar.

“Kalau nak kata susah, sebenarnya tidaklah terlalu sukar. Melalui liriknya sahaja kita sudah boleh merasai emosi lagu tersebut. Tambahan pula, sebelum sesi rakaman, kami sudah menerima demo terlebih dahulu. Jadi walaupun tidak merakam bersama Black di studio, feel lagu itu tetap sampai. Alhamdulillah,” ujarnya.

Selain itu, keindahan panorama Bukit Fraser menjadi pilihan lokasi penggambaran video muzik Memilih Kamu, sekali gus menambahkan nilai istimewa pada karya ini.

Memilih Kamu diterbitkan oleh Nova Music Malaysia dan boleh mula distrim di semua platform digital bermula 22 Ogos 2025, dengan pelancaran video muzik rasmi pada jam 3 petang hari yang sama menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.

Komen
Loading...