Melly Goeslaw Kongsi Kisah Hati Dalam Konsert Mega ‘Ada Apa Dengan Melly…?’
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw, bukan sekadar menghiburkan peminat malam tadi di Axiata Arena, tetapi turut berkongsi kisah hati dan penghayatan yang mendalam menerusi konsert mega “Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite”.
Konsert yang bertemakan “Dress To Kill” ini menggabungkan elemen nostalgia dan glamor, membawa penonton menyelami perjalanan seni Melly dengan lagu-lagu hit yang menggetarkan jiwa.
Antara lagu yang dipersembahkan ialah Ku Bahagia dalam versi orkestra, Ingin Mencintai dan Dicintai, Pecinta Wanita, Malam Pertama, dan banyak lagi.
Namun, yang menarik perhatian bukan sahaja persembahan hebatnya, tetapi juga kisah yang Melly kongsikan mengenai persiapannya menghadapi konsert tersebut.
Menurut Melly, fokusnya bukan pada latihan fizikal seperti kebanyakan artis lain, tetapi lebih kepada melatih hati untuk menyampaikan emosi dan mesej yang tulus dalam lagu-lagu yang dinyanyikan.
“Semasa saya mempersiapkan konsert ini, ada yang fokus pada latihan fizikal dan pelbagai perkara lain. Namun, saya rasa diri saya bukan seorang atlet. Kerjaya saya adalah sebagai penyanyi, dan tugas saya adalah menyentuh hati semua orang dengan hati saya,”
“Jadi, apa yang saya latih sebenarnya adalah hati saya. Saya tidak suka bersenam atau buat aktiviti fizikal, sebaliknya fokus saya melatih hati dan perasaan supaya mesej dan emosi dalam lagu saya sampai kepada semua pendengar,” ujarnya.
Konsert ini turut dimeriahkan dengan persembahan lagu medley termasuk lagu ikonik Malaysia seperti Janji Manis (Aishah), Betapa Kucinta Padamu (Siti Nurhaliza), dan Isabella (Search).
Selain itu, pelakon terkenal Nicholas Saputra turut membuat kemunculan istimewa dengan membacakan puisi dari filem Ada Apa Dengan Cinta, yang menambahkan sentuhan emosi dalam acara tersebut.
Selain Aina Abdul, malam itu juga menyaksikan kemunculan penyanyi muda Dinda Ghania yang menyampaikan lagu Jangan Pernah Berubah dan Bunda, memberi nafas baru kepada konsert ini.
Konsert “Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite” bukan sahaja menjadi persembahan seni, tetapi juga platform Melly meluahkan rasa dan kisah hati yang selama ini membentuk karya-karyanya, menjadikan malam itu satu pengalaman penuh makna buat semua yang hadir.
FOTO: BANGSAWAN PICTURES.