Melissa Kembali Gegar Pentas Sempena Konsert Ulang Tahun ke-35 di Johor Bahru
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Dari kiri: Kyoji Sky (gitar/keyboard), Fareez Undertaker (gitar), Ajak (Bass) dan Black (dram) – FOTO Subky Hj Bebit.
Kumpulan rock terkenal era 90-an, Melissa, bakal mengembalikan kenangan manis peminat muzik tanah air menerusi Konsert Ulang Tahun ke-35 yang akan berlangsung pada 28 Jun 2025 di The Colosseum Rooftop City Plaza, Johor Bahru.
Konsert yang dijadual bermula pada 9 malam itu bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi simbol penyatuan semula barisan asal kumpulan yang pernah mencetus fenomena dalam dunia rock tanah air.
Empat anggota teras Melissa iaitu Mohamed Ali (Aliff), Fariz Ahmad (Fareez Undertaker), Mohamed Nor Razak (Ajak Melissa) dan Samsul Kamal Mohd Zain (Ancoy) akan kembali bergandingan selepas lebih tiga dekad membawa haluan masing-masing.
Menurut Ajak, pengasas dan ketua kumpulan Melissa, konsert ini menjadi medan untuk menghidupkan semula semangat rock 90-an dan memberi penghormatan kepada perjalanan muzik kumpulan itu.
“Ini bukan sekadar konsert. Ia satu penghargaan kepada legasi Melissa yang telah bertapak sejak 1990. Walaupun tidak semua anggota asal dapat hadir, penyatuan ini tetap membawa makna besar,” katanya pada satu sidang media di Power House Musical Studio.
Menariknya, konsert ini turut menyatukan dua generasi apabila Melissa Band, versi baharu kumpulan yang ditubuhkan Ajak pada 2023, akan tampil bergandingan di pentas bersama Melissa. Melissa Band yang dianggotai pemuzik muda seperti Black (dram) dan Kyoji Sky (gitar/keyboard), menjadi kesinambungan kepada semangat muzik kumpulan tersebut.
“Melissa Band ialah platform kandungan saya di YouTube dan entiti berasingan daripada Melissa. Saya tetap hormat nama Melissa dan tidak guna sesuka hati,” ujar Ajak.
Fareez Undertaker, pemain gitar Melissa, menyambut baik inisiatif ini dan menyifatkan Johor Bahru sebagai lokasi paling tepat untuk konsert ulang tahun tersebut.
“Kami bermula di selatan. Dari dulu lagi lagu-lagu Melissa diterima baik di Singapura dan Johor. Jadi, ini ibarat pulang ke pangkuan asal,” katanya.
Konsert ini juga adalah hasil cetusan idea Aliff, vokalis terakhir Melissa yang menyertai kumpulan itu selepas pemergian Allahyarham Ustaz Razi pada 1991. Aliff yang turut mempelopori projek Bumi Rock sejak empat tahun lalu, berkata idea itu disambut baik oleh Ajak dan anggota asal lain.
“Kami tak pernah berpecah secara rasmi. Cuma masa dan komitmen masing-masing memisahkan kami. Ini peluang untuk menghidupkan semula kenangan dan semangat Melissa,” jelasnya.
Konsert ini akan menampilkan lagu-lagu dari semua album Melissa yang pernah mengisi ruang udara 90-an. Gabungan tenaga lama dan baharu di pentas dijangka menyuntik nafas segar namun penuh nostalgia, dengan Sky (Kyoji Sky) bakal menjadi pemuzik undangan istimewa malam itu.
Bagaimanapun, beberapa bekas anggota seperti Ozzi dan Keff tidak terlibat dalam konsert kali ini atas faktor peribadi dan perbezaan pendapat.
“Saya hormati semua bekas anggota. Tapi keputusan dibuat dengan teliti demi kelangsungan muzik Melissa,” kata Ajak.
Sebagai pembuka tirai, kumpulan Spellbound dari selatan dan Ozon dari utara tanah air akan turut membuat persembahan.
Dengan pentas terbuka di atas bumbung dan pemandangan bandar Johor Bahru yang memukau, penonton dijanjikan pengalaman muzik yang bukan sahaja menggegarkan, malah menyentuh perasaan.
Tiket konsert dijual pada harga purata RM120 dan boleh dibeli menerusi pautan ini.