Ikuti Kami:

Melaka Dapat TYT Baru, Pertama Kali Dari Anak Jati Melaka

Melaka Dapat TYT Baru, Pertama Kali Dari Anak Jati Melaka

Berkat doa seluruh warganya, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam bakal melakar sejarah tersendiri selepas 63 tahun apabila menjadi anak negeri yang pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7.

Tiada siapa mampu menyanggah Mohd Ali, 70, adalah pilihan yang tepat menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 4 Jun ini.

Ini merupakan khabar gembira buat rakyat Melaka yang sekian lama menantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka dipilih daripada dalam kalangan anak jati kelahiran negeri ini.

Sejak selepas negara mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957, enam Yang di-Pertua Negeri yang dilantik kesemuanya datangnya dari luar Melaka. Dua dari dari Perak manakala setiap seorang pula dari Negeri Sembilan, Selangor, Kedah dan Pahang.

Enam Yang di-Pertua Negeri Melaka terdahulu ialah Tun Leong Yew Koh (31 Ogos 1957 – 30 Ogos 1959, berasal dari Sungai Siput, Perak); Tun Abdul Malek Yusuf (31 Ogos 1959 – 30 Ogos 1971, berasal dari Kg Chengkau, Negeri Sembilan); Tun Abdul Aziz Abdul Majid (31 Ogos 1971 – 9 Mei 1975, berasal dari Hulu Langat, Selangor); Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan (23 Mei 1975 – 30 Nov 1984, berasal dari Tanjung Kerian, Perak); Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin (4 Dis 1984 – 3 Jun 2004 berasal dari Kulim, Kedah) dan Tun Mohd Khalil Yaakob (4 Jun 2004 – hingga kini, berasal dari Kuantan, Pahang).

Ali Rustam merupakan anak jati negeri ini dan dilahirkan pada 24 Ogos tahun 1949 di Kampung Bukit Katil. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Katil dan SK Semabok.

Beliau melanjutkan pengajiannya di Sekolah Tinggi Melaka (Melaka High School), selepas itu melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan memegang Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) pada tahun 1984.

Foto : Nur Hisham Ang, TMI

Komen
Loading...