Ikuti Kami:

Melabel “Melayu Pemalas” Silap PH – Anwar Ibrahim

Melabel “Melayu Pemalas” Silap PH – Anwar Ibrahim

Melabelkan “Melayu malas” adalah antara kesilapan taktikal yang berlaku ketika pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH) selepas berjaya menumbangkan BN.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, berkata PH perlu mengakui bahawa sepanjang mentadbir negara pemimpinnya telah mengeluarkan kenyataan yang melukakan hati orang Melayu.

Jelas Anwar dalam satu wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, berkata PH gagal mengatasi masalah orang Melayu dengan baik ketika mereka diprovokasi.

“Saya kata, bagi peluang, soal kemalasan sudah dijawab ratusan tahun. Baca (tulisan) Jose Rizal, The Indolence of The Filipinos.

“Baca (tulisan) Syed Hussin Alatas, Mitos Pribumi Malas, The Myth of The Lazy Native. Ini sudah dijawab.

“Tapi masih ada ketua-ketua kita yang masih menyebut, Melayu ini malas, ini melukakan,” katanya ketika wawancara.

Bagaimanapun Anwar tidak menyebut nama bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sering melabelkan “Melayu malas”.

Mahathir sering menggunakan perkataan Melayu malas bagi membangkitkan semangat orang Melayu untuk terus maju ke depan.

Kemarahan orang Melayu terhadap kerajaan PH dimulakan dalam protes membantah retefikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada akhir tahun 2018.

Umno dan PAS telah menjadikan isu berkenaan sebagai senjata politik mereka apabila mendakwa usaha kerajaan PH untuk meretifikasikan Icerd sebagai usaha untuk melemahkan kedudukan Islam, institusi raja dan orang Melayu.

Kerajaan PH jatuh selepas 22 bulan berkuasa apabila Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak keluar pakatan itu pada Februari lalu.

Ia kemudiannya disusuli dengan kem bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut bertindak meninggalkan PH.

Bersatu dan kem Azmin kemudiannya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, PAS dan parti dari Sabah.

Komen
Loading...