Mega Raya ANSARA: Bukan Sekadar Tempat ‘Sembang’, Kini Wadah Bantu Kelestarian MRSM
- oleh MDaily Editor
- 11 Apr 2026 5:02 pm
Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia) kini bukan lagi sekadar platform untuk alumni berkumpul dan beramah mesra, sebaliknya telah bertransformasi menjadi sebuah organisasi profesional yang kritikal dalam menyokong kelestarian ekosistem Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta pembangunan sosioekonomi negara.
Menerusi penganjuran Mega Raya ANSARA 2026 (MR2026) yang berlangsung meriah di Dewan Perdana Keramat Mall hari ini, persatuan itu membuktikan kekuatannya sebagai ‘kuasa ketiga’ yang mampu menggerakkan perubahan besar melalui jaringan strategik korporat dan inisiatif kebajikan yang sistematik.
Presiden ANSARA Malaysia, Taufiq Hussien, menegaskan bahawa persepsi segelintir pihak yang menganggap persatuan alumni hanya sebagai tempat untuk ‘bersembang’ atau mengadakan jamuan makan perlu dikikis.

“Mega Raya tahun ini adalah manifestasi kekuatan jaringan alumni kita. Kami tidak hanya berkumpul untuk nostalgia, tetapi untuk membina impak. Daripada kehadiran Ketua Setiausaha Negara (KSN) hingga ke tokoh korporat, semuanya hadir di Dewan Perdana ini untuk membina jaringan yang memberi manfaat kepada pembangunan modal insan negara,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut.
Majlis yang bertemakan Busana Klasik Melayu itu menyaksikan ruang legar Keramat Mall dipenuhi hampir 2,000 tetamu, termasuk alumni yang terbang pulang dari Amerika Syarikat, Jepun, dan Singapura semata-mata untuk menunjukkan solidariti mereka terhadap komuniti ANSARA.
Salah satu impak terbesar yang dizahirkan melalui platform ANSARA adalah sokongan terhadap polisi kerajaan dan MARA yang membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan (B40).
Menurut Taufiq, ANSARA secara proaktif telah membantu 261 keluarga yang dikenal pasti tidak mampu menampung kos pendaftaran anak-anak mereka ke MRSM pada tahun ini.
“Kami bukan sekadar beri bantuan kewangan. Ahli-ahli kami di cawangan turun padang, bawa keluarga ini beli kelengkapan sekolah, pakaian seragam, malah ada yang volunteer menghantar sendiri anak-anak tersebut ke maktab. Ini adalah khidmat bakti langsung alumni kepada kelestarian institusi yang telah membesarkan kita,” tambah beliau.

Selain bantuan pendaftaran, setiap cawangan ANSARA dianggarkan menyumbang sekurang-kurangnya RM50,000 setahun bagi tujuan menaik taraf infrastruktur maktab, seperti pembaikan surau, dewan, dan kemudahan pembelajaran di 58 cawangan MRSM seluruh negara.
Dengan jumlah lepasan MRSM yang kini mencecah lebih 250,000 orang, ANSARA Malaysia mensasarkan untuk meningkatkan keahlian rasmi kepada 100,000 orang menjelang tahun 2027.
Langkah ini dilihat penting bagi memastikan setiap program pembangunan, termasuk Simposium Keluarga dan Ansara MasterChef yang dijadualkan berlangsung tahun ini, dapat memberikan impak yang lebih meluas kepada komuniti.
“Kejayaan sebenar MRSM adalah melalui didikan guru dan sokongan MARA, namun peranan alumni sebagai role model adalah inspirasi utama untuk pelajar sedia ada mencapai tahap yang lebih hebat,” ujar Taufiq.
Kemuncak acara di Dewan Perdana Keramat Mall itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa entiti korporat dan akademik terkemuka, antaranya Premier Integrated Labs & Sunway Medical Centre, Al-Ikhsan Sports & Authenteqa Sdn Bhd dan Islamic Relief Malaysia.
Kerjasama ini bukan bersifat tajaan semata-mata, sebaliknya menyediakan program khusus seperti peluang internship dan penempatan kerjaya bagi graduan muda MRSM, sekali gus memperkukuh ekosistem profesional alumni.




