MDC Ventures Anjur Kejohanan Pickleball Amal, Kumpul Dana Untuk Persatuan Kebajikan
- oleh MDaily Editor
- 17 May 2026 12:15 pm
MDC Ventures, mengorak langkah proaktif dalam memperkasa tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran Kejohanan Pickleball Amal Sulung MDC 2026 (MDC Charity Pickleball Open 2026), di sini, semalam.
Penganjuran kejohanan dengan kerjasama Persatuan Jalinan Kasih Muhibbah dan Pickle Banana Club itu berjaya mengumpul dana keseluruhan dana bagi membantu tiga persatuan kebajikan tempatan.
Majlis pengurniaan hadiah dan penyerahan dana amal tersebut disempurnakan oleh Yang Mulia (YM) Tengku Hishammuddin Zaizi bin Tengku Bendahara Azman Shah Al-Haj selaku Tetamu Kehormat sekaligus menjadi pemangkin inspirasi kepada seluruh peserta serta komuniti dalam memperkukuh nilai ihsan dan semangat kesukarelawanan.
Presiden MDC Ventures, Cody Yip berkata, acara sempena sambutan ulang tahun ke-25 syarikat itu bertujuan memanfaatkan populariti sukan pickleball yang sedang berkembang pesat di Malaysia untuk mencipta impak sosial yang mampan terhadap golongan muda yang memerlukan.

Presiden MDC Ventures, Cody Yip.
“Ini merupakan tahun pertama kami menganjurkan kejohanan seumpama ini dan komitmen kami adalah untuk menjadikannya sebagai acara tahunan dengan jaminan 100 peratus hasil kutipan yuran pendaftaran akan disalurkan terus kepada tabung kebajikan.
“Kesemua kos operasi dan pengurusan bagi melancarkan kejohanan ini ditanggung sepenuhnya oleh para penaja korporat, manakala setiap sen yang disumbangkan oleh peserta disasarkan khusus untuk kebajikan anak-anak ini,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Kejohanan tersebut menerima respons luar biasa daripada orang awam apabila merekodkan penyertaan penuh pemain yang bersaing dalam kategori berpasangan, dengan kadar yuran pendaftaran RM300 bagi setiap pasangan.
Penganjur pada mulanya menetapkan sasaran kutipan awal sebanyak RM12,000, namun sokongan padu daripada pelbagai pihak dan penaja korporat membolehkan jumlah kutipan melonjak dengan lebihan dana sebanyak RM20,000 lagi, menjadikan jumlah bersih dana terkumpul ialah RM32,000.

Dari kiri: Ag Nes Chua (Persatuan Jalinan Kasih Muhibbah), Cody Yip (MDC Ventures) dan Ben Ong (Pickle Banana Club).
Kesemua dana yang diraih daripada yuran pendaftaran serta sumbangan langsung MDC Ventures diserahkan kepada Persatuan Jalinan Kasih Muhibbah, untuk diagihkan secara terus kepada tiga rumah kebajikan terpilih.
Rumah kebajikan yang menerima manfaat berkenaan ialah Good Samaritans Home di Klang, Pertubuhan Kebajikan Asnaf Raudhatul Jannah (Banting), dan Persatuan Kebajikan Wen Hua KL & Selangor yang berpangkalan di Cheras.
Sumbangan terbabit difokuskan bagi memastikan setiap kanak-kanak di penempatan berkenaan mendapat akses yang sedia ada kepada keperluan asas, pendidikan berkualiti, penjagaan kesihatan yang baik, serta persekitaran yang selamat.
Inisiatif CSR ini adalah sejajar dengan tonggak ‘Komuniti’ di bawah payung Allianz4Good, yang memberikan tumpuan terhadap agenda transformasi sosial yang mampan serta usaha mengangkat taraf hidup golongan rentan dan kurang bernasib baik.
Bagi komuniti yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program bantuan dan aktiviti persatuan ini, sila layari laman web rasmi di https://www.pjkm.org.my/.
