Baru-baru ini seorang pelajar Malaysia telah dilaporkan menerima biasiswa dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA) melalui satu cabaran yang disertainya.
Dalam cabaran mencipta sut angkasa lepas untuk ke Marikh, pelajar bernama Azhar Ali mendakwa dia adalah antara 1% dari lebih 3 juta peserta yang mendapat markah terbaik, sekali gus melayakkannya untuk menerima biasiswa pendidikan tersebut.
Melalui perkongsian di Twitter, remaja itu meluahkan rasa terkejutnya apabila mendapat berita gembira tersebut dan berkongsikan email yang diterimanya dari NASA.
Mengikut kelayakan cabaran itu, peserta dikatakan mestilah seorang pelajar siswazah sepenuh masa yang mendaftar di institusi pengajian tinggi A.S. yang bertauliah, atau ahli fakulti pada masa proposal dihantar.
Selain tawaran menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dengan biasiswa NASA, Azhar juga ditawarkan tempat untuk menyertai pasukan saintis muda Artemis dibawah kendalian NASA STEM Engagement.
Perkongsian tersebut telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuklah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walau bagaimanpun, ramai yang mula mempersoalkan tentang kebenaran perkongsian pelajar itu, apabila baru-baru ini dia telah menutup akaun Twitternya dari khalayak, mengundang netizen untuk hadir dengan pelbagai spekulasi dan dakwaan.
Azhar akhirnya bersuara mengenai tawaran biasiswa yang diterimanya yang mana dia mengakui telah ditipu selepas menghubungi NASA dan NUS untuk mendapatkan pengesahan tentang tawaran tersebut.
Sehubungan daripada itu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini turut menyebarkan perkongsian Azhar itu untuk mengambil perkara itu sebagai pengajaran dan memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum dikongsikan.