
Konsert kumpulan rock ikonik Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), mencipta sejarah luar biasa apabila 120,000 tiket untuk dua malam persembahan mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil habis terjual, menjadikan ia acara muzik terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.
Dalam masa hanya beberapa jam selepas jualan dibuka, tiket bagi malam kedua turut habis ditempah, menjadikan Malaysia satu-satunya destinasi dalam siri Jelajah Asia Tenggara MCR yang dianugerahkan dua malam berturut-turut.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil, menyifatkan pencapaian itu sebagai rekod bersejarah bukan sahaja bagi stadium, malah untuk seluruh rantau ini.
“Pertama kali dalam sejarah, perkara ini berlaku. Kita tidak pernah buat konsert malam kedua dalam stadium besar ini. Saya juga diberitahu, seramai 120,000 peminat akan hadir untuk konsert pada kedua-dua malam itu.
“Jadi, ini merekod jumlah penonton paling besar di rantau ini. Apa yang dilihat selari dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 di mana kira-kira 30 peratus daripada pembeli tiket adalah peminat dari luar negara. Ini bermakna kita berjaya menarik kira-kira 40,000 peminat luar negara,” katanya.
Beliau menambah, PSM memainkan peranan aktif dalam membawa MCR ke Malaysia dengan kerjasama rapat bersama penganjur rasmi, Hello Universe.
“Kita mudahkan macam mana kita boleh dapatkan MCR datang dua malam dan jadikan Malaysia sebagai lokasi persembahan terbesar di rantau ini. Kalau kita lihat di Singapura, Indonesia, Thailand dan sebagainya, semua konsert berlangsung dalam stadium tertutup.
“Ini suatu pendekatan baharu oleh PSM di mana kita bekerjasama rapat dengan promoter konsert untuk tarik lebih banyak artis ‘A-List’ datang ke Malaysia,” jelasnya.
Iliyas turut memberi jaminan bahawa aspek penyelenggaraan padang stadium menjadi keutamaan meskipun acara mega seperti ini berlangsung.
“Garis panduan padang memang kita sudah sediakan. Kita pastikan stadium ini digunakan sebaik-baiknya. SOP masih sama, cuma perlu sedikit penyesuaian daripada segi masa. Kesan kepada rumput mesti ada, namun kita perlu pastikan ia minimum,” katanya lagi.
Konsert My Chemical Romance pada 30 April dan 1 Mei 2026 itu dijangka menjadi sorotan utama dalam kalendar hiburan tanah air, selain memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, penginapan, makanan dan minuman.
Hello Universe dalam satu kenyataan menzahirkan penghargaan atas sambutan luar biasa peminat.
“Sambutan luar biasa ini mencerminkan betapa kuatnya pengaruh My Chemical Romance di rantau ini, lebih dua dekad selepas mereka muncul dalam dunia muzik alternatif global,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini mengenai konsert ini menerusi saluran rasmi Hello Universe di @hellouniversemy (Instagram, TikTok dan X).
Dengan kejayaan bersejarah ini, konsert MCR di Kuala Lumpur bukan sahaja bakal menjadi acara muzik paling dinanti, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab hiburan antarabangsa.