Ikuti Kami:

MCR Bakal Gempur Bukit Jalil Selepas 19 Tahun

MCR Bakal Gempur Bukit Jalil Selepas 19 Tahun

Selepas hampir dua dekad, kumpulan rock tersohor Amerika, My Chemical Romance (MCR) bakal kembali menggegarkan pentas Malaysia dengan konsert yang dijadual berlangsung pada 30 April 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kali terakhir MCR tampil di Malaysia adalah pada tahun 2007, juga di Kuala Lumpur, semasa mereka menjayakan jelajah The Black Parade. Kini, 19 tahun kemudian, mereka kembali dengan semangat baharu menerusi siri jelajah Asia bertajuk “Long Live The Black Parade Tour 2026”.

Kembalinya MCR ini sekali gus menjawab teka-teki peminat tempatan yang sebelum ini dikejutkan dengan kemunculan papan iklan misteri di beberapa kawasan sekitar ibu kota, antaranya Bukit Bintang dan Bangsar.

Iklan tersebut menampilkan imej mawar bersama frasa “Malaysia, are you okay?” yang sinonim dengan identiti band ini.

Konsert di Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada tujuh destinasi Asia yang diumumkan termasuk Seoul, Bangkok, Bulacan (Filipina), Singapura dan Jakarta.

Kehadiran MCR ke Malaysia disambut dengan penuh keterujaan oleh peminat setia mereka yang telah menunggu lebih sedekad untuk menyaksikan persembahan ikonik secara langsung.

Persembahan MCR di Malaysia akan berlangsung pada 30 April 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan harga bermula dari RM299 hingga RM1,099 bergantung kepada kategori tempat duduk.

Jualan tiket akan dibuka pada hari Jumaat, 11 Julai 2025 jam 11 pagi dan boleh dibeli menerusi laman rasmi www.golive-asia.com atau aplikasi mudah alih GoLive Ticketing App.

My Chemical Romance yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Welcome to the Black Parade, Helena dan I’m Not Okay (I Promise) telah membentuk satu generasi melalui muzik dan gaya unik mereka yang berpengaruh dalam dunia rock alternatif dan emo.

Kepulangan mereka ke Malaysia dijangka menjadi antara konsert paling ditunggu-tunggu pada tahun 2026 dan bakal mencipta sejarah baharu dalam landskap hiburan tempatan.

Komen
Loading...