May, Bloodshed, Sofea Semarakkan ‘Roh’ Rock di Konsert Rock Car Park
- oleh MDaily Editor
- 9 Feb 2026 6:06 pm
Demam muzik rock kapak bakal kembali melanda ibu kota apabila barisan kumpulan legenda termasuk May, Bloodshed, dan Sofea disahkan bakal menggegarkan pentas Konsert Rock Car Park yang dijadualkan berlangsung pada 9 Mei depan.
Mengangkat tema ‘rareness’ dan nostalgia, konsert anjuran Nyla Network Sdn Bhd itu memilih lokasi unik di bumbung (rooftop) bangunan Campbell Complex, Jalan Dang Wangi, sekali gus menghidupkan semula budaya persembahan rock jalanan yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu.
Ketua Pegawai Eksekutif Nyla Network Sdn Bhd, Encik Mustaqim Zainal, berkata pemilihan barisan artis yang turut membabitkan May, Sofea, Bloodshed, Wicitra dan Shasha And The Boys adalah berdasarkan kekuatan pengaruh dan nilai nostalgia yang mereka miliki.

”Kita pilih mereka kerana kekuatan muzik dan bagi memenuhi permintaan peminat yang merindui kemunculan semula band ‘otai’ ini.
Ada dalam kalangan mereka sudah lama tidak muncul di pentas besar, jadi inilah masanya kita satukan kembali.
”Seperti namanya, Rock Car Park membawa roh kebebasan dan keberanian. Kami mahu peminat merasai semula getaran muzik rock yang tulen dalam suasana urban terbuka,” katanya pada sidang media pengumuman konsert itu di sini, hari ini.
Meskipun faktor usia dan kesihatan sering menjadi kekangan buat artis veteran, pihak penganjur memberi jaminan kualiti persembahan tetap diutamakan dengan bincangan teliti bersama setiap kumpulan bagi memastikan peminat mendapat pengalaman yang bermakna.
Menariknya, konsert ini turut mendapat sokongan jenama kasut tempatan legendaris, Fung Keong (FK), yang bertindak sebagai penaja utama.
Kehadiran FK dilihat sebagai simbolik yang cukup serasi dengan identiti muzik rock kapak yang sinonim dengan gaya hidup peminat tegar genre tersebut.

Pihak penganjur juga bakal menawarkan harga bundle istimewa yang merangkumi tiket konsert bersama produk kasut FK untuk tempoh terhad.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket, jualan akan mula dibuka pada 12 Februari ini menerusi platform ticket2u.com.
Harga tiket ditawarkan mengikut kategori berikut: Pre-sale: RM100, Early Bird: RM120, Harga Biasa: RM150.




