Matilde G Tarik Perhatian Dengan Single Terbaharu ‘Sweet Spot’
- oleh Mohd Indera
- 22 Jul 2025 7:57 am

Penyanyi pop antarabangsa, Matilde G, terus mencuri perhatian peminat muzik dunia menerusi single terbaharunya berjudul ‘Sweet Spot’ yang dilancarkan pada 18 Julai lalu.
Lagu tersebut bukan sahaja memperlihatkan sisi Matilde yang semakin matang sebagai penyanyi dan penulis lagu, malah membuktikan keupayaannya dalam menghasilkan karya pop yang segar, moden dan penuh emosi.
‘Sweet Spot’ hadir dengan sentuhan melodi yang lembut namun memikat, mengetengahkan kisah cinta yang lahir secara tidak diduga.
Terinspirasi daripada pengalaman peribadi Matilde G sendiri yang bertemu kekasih di bawah cahaya bulan purnama, lagu ini membawa pendengar menghayati momen indah di mana dua hati bertaut dalam suasana romantis.
Ia disampaikan menerusi lirik yang puitis dan susunan muzik yang hangat, menjadikan ‘Sweet Spot’ sebagai lagu yang mudah melekat di hati pendengar.
Diterbitkan oleh Julian Feifel dan ditulis oleh Matilde bersama Shayna Zaid dan Feifel sendiri, lagu ini memadukan elemen afropop dengan bunyian pop moden yang memberikan dimensi baharu kepada muzik Matilde G.
Vokalnya yang halus dan penuh perasaan turut memperkuatkan mood lagu ini, lebih-lebih lagi apabila Matilde bermain dengan bahasa Inggeris dan Itali, termasuk bait lirik “Mi fai impazzire” yang membawa maksud “Kamu buat aku tergila-gila”.
Menurut Matilde G, ‘Sweet Spot’ adalah antara karya yang paling dekat di hatinya kerana ia menggambarkan kenangan manis yang tidak dirancang namun penuh makna.
Baginya, lagu ini bukan sekadar berkisar soal cinta, sebaliknya lebih kepada perasaan jatuh cinta terhadap kehidupan, muzik dan momen yang membuatkan hati berdebar.
Sejak dilancarkan, ‘Sweet Spot’ menerima reaksi positif dalam kalangan peminat serta pencinta muzik antarabangsa. Ramai memuji kekuatan melodi, kejujuran lirik dan susunan muzik yang mengangkat nama Matilde G sebagai bintang pop baharu yang wajar diberi perhatian.
Dengan pencapaian ini, Matilde G sekali lagi membuktikan bahawa bakatnya bukan sekadar bergantung pada penampilan atau populariti, sebaliknya lahir daripada keikhlasan berkarya serta keberanian untuk terus bereksperimen dengan muzik yang lebih segar dan matang.