MATEC 2025 Pacu Teknologi Automotif Dan Kenderaan Elektrik Tempatan
- oleh MDaily Editor
- 7 Oct 2025 1:24 pm
MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2025, anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA), dijangka menjadi platform utama dalam memperkukuh ekosistem industri automotif dan kenderaan elektrik (EV) tempatan, seiring aspirasi negara ke arah mobiliti hijau dan teknologi masa depan.
Acara berprestij itu akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 2 November ini di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, menghimpunkan pemain industri, penyelidik, agensi kerajaan, pelajar institusi teknikal serta penggemar automotif dari seluruh negara.
Menurut Pengerusi MARA,Datuk Dr. Wira Asyraf Wajdi Dusuki, penganjuran kali kedua ini merupakan antara inisiatif strategik MARA dalam menyokong dan memperkukuh usahawan bumiputera agar terus berdaya saing dalam industri automotif yang semakin berorientasikan teknologi hijau dan mampan.
“MATEC 2025 bukan sekadar pameran automotif, tetapi platform menyeluruh untuk usahawan dan pemain industri meneroka teknologi baharu, memahami piawaian terkini serta membina kerjasama strategik di sepanjang rantaian nilai industri,” katanya pada majlis prapelancaran MATEC 2025 bersama media di ibu negara pada Selasa.
Menurutnya, penganjuran kali ini memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi automotif masa hadapan termasuk penghasilan, penyelenggaraan serta pembangunan tenaga kerja dalam bidang kenderaan elektrik (EV), yang dilihat sebagai segmen penting dalam agenda transformasi industri automotif Malaysia.
“Kita mahu memastikan lebih ramai usahawan dan vendor bumiputera dapat menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global yang kini menuju ke arah elektrifikasi dan kelestarian.
“Melalui MATEC 2025, kita akan mempamerkan bukan sahaja teknologi kenderaan elektrik baharu, tetapi juga komponen, alat ganti, sistem pengecasan, dan perkhidmatan selepas jualan yang menyokong keseluruhan ekosistem EV tempatan,” jelasnya.
MATEC 2025 mengetengahkan tema “Charge The Hype” yang menggabungkan elemen teknologi automotif terkini, gaya hidup permotoran dan modifikasi kreatif dalam satu acara berkonsepkan tenaga dan inovasi.
“Selain itu ia menggabungkan modifikasi kreatif dan penglibatan Gen-Z dalam satu acara,”
“Gabungan itu bakal menghidupkan suasana penuh tenaga, gaya dan keterujaan seperti mengecas budaya automotif dengan semangat baharu,” katanya.

Asyraf Wajdi menambah, empat komponen utama akan diketengahkan dalam MATEC 2025, iaitu pameran (B2C), padanan perniagaan (B2B), hab diagnosis (Diagnose Hub) dan roda pengalaman (Experiential Wheel), yang memberi peluang kepada pengunjung dan pemain industri untuk berinteraksi secara langsung dengan pelbagai jenama serta teknologi baharu.
MATEC 2024 memperoleh pencapaian yang memberangsangkan apabila berjaya mencatat transaksi jualan bernilai RM16.6 juta, melaksanakan lebih 330 sesi padanan perniagaan dan menarik 26,550 pengunjung sepanjang penganjuran.
“Susulan kejayaan tersebut, MATEC kali ini dijangka mampu memperoleh transaksi jualan melebihi RM50 juta dengan penambahan lebih 70 reruai pameran berbanding tahun lepas,”
“Kita mahu MATEC menjadi jambatan yang menghubungkan usahawan tempatan dengan pemain industri global bagi memperluas peluang pelaburan dan pemindahan teknologi,”
“MARA sentiasa komited untuk memastikan ekosistem automotif bumiputera terus berkembang seiring dengan perkembangan industri automotif dunia,” katanya.
Sehingga kini, lebih 5,000 usahawan automotif bumiputera telah dibangunkan MARA melalui latihan, pembiayaan, fasiliti perniagaan dan bimbingan strategik.
MARA turut memberi tumpuan kepada industri High Growth High Value (HGHV) dengan membangunkan usahawan EV seperti GGR Motor, pengeluar utama motosikal elektrik tempatan, serta melatih tenaga kerja mahir dalam bidang automotif melalui institusi TVET MARA bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.
Dengan pendekatan holistik ini, MATEC 2025 dilihat sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh ekosistem automotif bumiputera, memacu inovasi kenderaan elektrik serta menyokong agenda kelestarian dan pembangunan industri automotif negara ke arah masa depan yang lebih hijau dan berteknologi tinggi.
Antara tarikan utama ialah peluang untuk memandu uji pelbagai model kenderaan elektrik, termasuk kereta dan motosikal EV, selain menikmati promosi menarik, potongan harga servis, aksesori dan barangan automotif.
Penganjuran kali ini turut disokong oleh pelbagai rakan industri dan agensi strategik termasuk PETRONAS, EON, Daihatsu, Little Joe, Bateriku, CelcomDigi, Mannol, PMH, serta agensi kerajaan dan institusi kewangan seperti PUNB, MARii dan SME Corp.




