Ikuti Kami:

MASDO Sertai Festival Muzik OOO 2025, Panas Badan Sebelum Konsert Ulang Tahun

MASDO Sertai Festival Muzik OOO 2025, Panas Badan Sebelum Konsert Ulang Tahun

Kumpulan kugiran MASDO mengesahkan penyertaan mereka dalam Festival Muzik OOO 2025 yang bakal berlangsung pada 1 Julai ini di Heritage Valley, Kuala Lumpur.

Kehadiran mereka ke festival anjuran OPPO dengan kerjasama Warner Music Malaysia itu menjadi medan pemanas badan sebelum konsert solo berskala besar sempena ulang tahun ke-10 mereka Ogos ini.

Ali selaku wakil kumpulan berkata, mereka amat teruja untuk bersama barisan artis lain yang turut mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik tanah air.

“Kami anggap penyertaan dalam Festival Muzik OOO 2025 ini sebagai sesi ‘panas badan’ menjelang konsert ulang tahun MASDO pada 30 Ogos nanti. Tambahan pula, festival ini menghimpunkan artis-artis hebat yang turut menjadi kegemaran ramai,” katanya mewakili rakan sepasukan, Ceri dan Mawi.

MASDO turut berjanji akan membuat pengumuman istimewa buat para peminat yang hadir pada malam festival itu kelak.

Selain MASDO, festival ini juga menampilkan barisan artis popular seperti Noh Salleh, Bunga, Luqman Podolski, Zynakal, TUJU, Naki, emptypage., Iman Troye, FUGŌ, Jo Vynn, Priscilla Abby dan Steadygang. Ia bakal menyatukan pelbagai genre muzik termasuk pop, hip-hop, indie dan rock dalam satu malam penuh kehangatan.

Festival Muzik OOO 2025 juga menandakan pelancaran rasmi siri telefon pintar baharu OPPO Reno yang mengetengahkan konsep gabungan muzik, teknologi dan gaya hidup.

Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian, berkata penganjuran festival ini bukan sekadar persembahan hiburan, malah sebagai sambutan budaya dan kreativiti dalam kalangan peminat muzik.

“Festival Muzik OOO 2025 adalah platform untuk menghargai bakat luar biasa dalam industri. Kami bangga dapat bekerjasama dengan OPPO dalam menjayakan acara ini,” katanya.

Menariknya, festival ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti interaktif, termasuk gerai makanan dan minuman serta pameran teknologi daripada jenama terlibat.

OPPO turut melancarkan siri digital Roda Karaoke, sebuah program video karaoke dalam gaya carpool bersama artis-artis festival seperti MASDO, Noh Salleh dan Bunga. Penonton juga berpeluang melihat lebih dekat model kenderaan baharu Proton e.MAS di booth khas semasa festival berlangsung.

Tiket berharga RM50 boleh didapati sekarang dan para peminat dijemput hadir memeriahkan Festival Muzik OOO 2025 yang akan bermula pada jam 6 petang hingga 11:30 malam.

Komen
Loading...