
Kugiran retro moden terkenal, MASDO, meraikan perjalanan satu dekad penuh warna dengan konsert ulang tahun bersejarah bertajuk Al-Kisah Kugiran MASDO 10 Tahun di Zepp Kuala Lumpur malam semalam.
Konsert anjuran Hitman Solutions bersama Kugiran Masdo itu bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah perayaan muzik retro moden yang telah menjadi identiti unik kumpulan tersebut sejak mula mencipta nama pada 2015.
Ribuan peminat membanjiri dewan, bersatu dalam suasana penuh nostalgia dan semangat kebangsaan sempena malam Merdeka.
Sorakan bergema sebaik sahaja tirai dibuka dengan paparan visual perjalanan MASDO, diikuti lagu pembukaan Teruna & Dara, momentum konsert tidak pernah surut apabila peminat bersama-sama menyanyikan lagu ikonik seperti Janji Manis, Dinda dan Ratu Hati.
Pengurus MASDO, Cheman, meluahkan rasa syukur dengan sokongan padu peminat.
“Malam ini adalah hadiah terindah buat MASDO. Kami bermula dengan impian kecil, dan hari ini menyaksikan ribuan peminat menyanyi bersama. Muzik retro moden terus segar kerana anda semua,” katanya.
Malam tersebut turut dimeriahkan dengan penampilan artis jemputan, antaranya Heidi Moru dengan Pujaanku, Noh Salleh dan Hujan menerusi Janji Manis serta Aku Scandal, selain persembahan istimewa Fizan (Bittersweet) dan kolaborasi Nisa (biola) bersama Cakam (kibod).
Lagu-lagu yang telah menjadi tanda tangan MASDO seperti Bunga dan Berduka-Lara menambahkan lagi keintiman persembahan. Ketika persembahan penutup, dewan bertukar menjadi lautan cahaya telefon bimbit peminat, melambangkan keutuhan perjalanan 10 tahun mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal, pula menyifatkan konsert itu sebagai penanda aras baharu.
“MASDO telah mencipta legasi mereka sendiri. Malam ini membuktikan muzik retro moden bukan sekadar nostalgia, tetapi satu aliran yang kekal relevan dan terus berkembang,” ujarnya.
Konsert ulang tahun ke-10 ini turut mendapat kerjasama Warner Music Malaysia, Tourism Malaysia serta sokongan media seperti Astro Gempak, Sinar FM, Era FM dan Gegar FM.
Selepas sedekad berkarya, MASDO terus mengukuhkan kedudukan sebagai kugiran retro moden nombor satu negara, sekaligus membuktikan muzik berjiwa klasik mampu kekal relevan dalam arus moden.