Masdo Gegar ‘Perang Suara’ Dengan Persembahan Istimewa Sempena Hari Malaysia
- oleh MDaily Editor
- 17 Sep 2025 11:26 am
Kumpulan retro-rock popular, Masdo, menjadi tumpuan utama apabila menggegarkan acara komuniti eksklusif “Perang Suara” anjuran PUBG MOBILE di PADDOCK PJ, dua hari sebelum sambutan Hari Malaysia.
Acara berkonsepkan gabungan muzik dan dunia permainan video itu berjaya menghimpunkan ratusan peminat daripada kedua-dua komuniti.
Sejak awal, suasana dipenuhi keterujaan dengan pelbagai pengisian menarik, namun persembahan Masdo tetap menjadi sorotan utama malam berkenaan.
Dengan alunan penuh gaya, Masdo mempersembahkan rangkaian lagu popular mereka yang disambut sorakan gemuruh penonton.
Malah, detik istimewa tercipta apabila kumpulan itu membawakan secara eksklusif lagu “Setia Bersamamu”, hasil kolaborasi kedua mereka bersama PUBG MOBILE.
Persembahan bersejarah itu menyentuh emosi peminat kerana ia merupakan kali pertama dan terakhir lagu berkenaan dibawa di pentas.

Selain persembahan Masdo, antara tarikan utama acara ialah PUBG MOBILE WOW Funmatch yang menampilkan lima peta khas ciptaan kreator tempatan dalam World of Wonder, serta Cabaran Karaoke yang mencuit hati apabila peminat tampil menyanyikan lagu kegemaran mereka dengan Masdo bertindak sebagai juri.
Pengurus Pemasaran PUBG MOBILE Malaysia, Izati Hashim, berkata acara itu berjaya menyerlahkan semangat perpaduan melalui muzik dan permainan.
“Persembahan Masdo benar-benar menghidupkan Perang Suara. Mereka bukan sekadar artis jemputan, tetapi simbol semangat yang kami raikan bersama komuniti. Melihat penonton bernyanyi bersama amat mengagumkan dan seiring dengan makna Hari Malaysia,” katanya.
Kejayaan Perang Suara sekali gus mengukuhkan kedudukan Masdo sebagai antara kumpulan muzik paling berpengaruh dalam arena hiburan tempatan, di samping membuktikan keunikan kolaborasi antara dunia digital dan pentas muzik.




