Masa Legacy, ‘Ella Junior’ Meriahkan Karnival Food Kingdom X Fun Run 2026
- oleh MDaily Editor
- 18 Jan 2026 1:33 pm
Anjung Floria bakal menjadi tumpuan peminat muzik rock dan pencinta makanan apabila kumpulan rock lagenda, Masa Legacy, dan penyanyi cilik tular, Putri Hafirra, dijadualkan menggegar pentas Karnival Food Kingdom X Fun Run 2026 pada hujung Januari ini.
Acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Januari itu bukan sekadar karnival makanan biasa, malah menggabungkan elemen gaya hidup sihat dan hiburan keluarga di bawah satu bumbung.
Vokalis Masa Legacy, Zack Masa berkata, kumpulan itu sudah bersedia untuk memberikan persembahan bertenaga dengan rangkaian 20 buah lagu buat peminat yang hadir pada malam 24 Januari.

“Kami akan membawakan lagu-lagu hits yang menjadi kegemaran ramai seperti Patahnya Sayap Malam, Persandingan Abadi, dan Raja Bersiong.
“Lebih istimewa, kami juga akan memperkenalkan single terbaharu berjudul Serupa Namun Berbeza hasil ciptaan pemain bass kami, Khai, manakala liriknya ditulis oleh saya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Zack dan Khai, Masa Legacy turut dibarisi oleh Arief Mirza selaku pemain gitar dan Muss di posisi dram.
Kemeriahan karnival itu akan diteruskan pada malam penutup, 25 Januari, dengan penampilan istimewa Putri Hafirra yang kini tular di media sosial dengan jolokan ‘Ella Junior’.
Penyanyi cilik berbakat itu bakal mempersembahkan beberapa lagu ikonik idolanya, selain mempertaruhkan lagu Sayunk I Love You versi rock yang baru dilancarkan.

Putri Hafirra
Penganjur acara, DCASSA Gold Venture memaklumkan bahawa karnival yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini bertujuan merancakkan kembali pelancongan domestik dan menyokong ekonomi kreatif usahawan tempatan.
“Food Kingdom X Fun Run 2026 adalah platform menyeluruh yang menyatukan komuniti larian, peminat tegar gastronomi, dan pencinta seni muzik tanah air. Kami menyasarkan kehadiran ribuan pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran ini,” ujar jurucakap penganjur.
Selain persembahan artis, pengunjung juga boleh menyertai acara larian santai Fun Run, melawat mini zoo, serta menikmati pelbagai pilihan sajian daripada kategori tradisional, street food, hingga ke hidangan Borneo di ruang vendor yang disediakan.
Karnival bermula jam 10 pagi hingga 11 malam, dan orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan suasana di lokasi ikonik Putrajaya tersebut.




