Ikuti Kami:

Mas Idayu Cipta Kelainan dengan ‘Harum Mekar Di Hati’

Mas Idayu Cipta Kelainan dengan ‘Harum Mekar Di Hati’

Penyanyi versatil Mas Idayu mencuri perhatian dengan kelainan dalam karya terbaharunya, Harum Mekar Di Hati. Lagu ini, yang berentak pop rock, menandakan langkah berani penyanyi yang sinonim dengan irama dangdut itu dalam meneroka genre muzik baharu.

Dilancarkan pada 6 Disember di semua platform digital, Harum Mekar Di Hati merupakan hasil kolaborasi pertama Mas Idayu dengan komposer terkenal, Ajai, manakala liriknya digarap oleh Raizo Almirez.

“Saya amat teruja dengan kelainan yang ditampilkan dalam lagu ini. Genre pop rock ini sememangnya mencerminkan minat sebenar saya sejak dahulu, meskipun irama dangdut yang mempopularkan nama saya di persada muzik,” ujar Mas Idayu.

Menurutnya, Ajai berjaya menghasilkan karya yang memenuhi cita rasanya, dan kerjasama ini telah menyerlahkan sisi versatilnya sebagai seorang penyanyi.

“Ajai tahu saya boleh menyanyikan pelbagai genre. Dengan Harum Mekar Di Hati, saya percaya peminat akan lebih menghargai kemampuan saya dalam genre berbeza,” tambahnya.

Bagi Ajai, kolaborasi ini adalah satu peluang untuk menonjolkan kemampuan sebenar Mas Idayu. “Saya memilih pop rock untuk mencabar keupayaan beliau, dan hasilnya amat memuaskan.

Lagu ini bukan sahaja memperlihatkan sisi lain beliau tetapi juga menambah nilai dalam perjalanan kariernya,” katanya.

Lagu ini diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan diedarkan oleh Indigital Music.

Kelainan yang dibawa melalui Harum Mekar Di Hati membuktikan Mas Idayu terus relevan dalam industri muzik dengan keberanian untuk bereksperimen dan mencabar batas dirinya.

Komen
Loading...