Ikuti Kami:

MARYGRACE Terus Bersinar: Dari Juara CSOIAM ke Ikon Gawai & Kaamatan Bersama Pepsi

MARYGRACE Terus Bersinar: Dari Juara CSOIAM ke Ikon Gawai & Kaamatan Bersama Pepsi

Penyanyi muda berbakat, Marygrace, terus mencuri perhatian industri muzik tempatan apabila dilantik sebagai salah satu ikon utama wakil Sabah bagi kempen Gawai dan Kaamatan 2025, anjuran bersama Pepsi dan TV Sarawak (TVS).

Pelantikan ini menyusul selepas kejayaan beliau muncul juara dalam pertandingan realiti Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) serta pelancaran single sulungnya Titik Mula yang kini berada dalam kedudukan 23 teratas carta Hot FM Top 40.

Sebagai simbol semangat dan perpaduan budaya, Marygrace tampil bersama dua lagi bintang iaitu Belle Sisoski, penyanyi dan komposer dari Sarawak, serta Rezza Shah, bekas peserta CSOIAM dalam lagu rasmi bertemakan perayaan Happy Gawai Kaamatan (Pepsi Harvest Celebration Anthem).

Lagu yang digarap sepenuhnya oleh Belle Sisoski ini merupakan gabungan moden dan tradisional, menampilkan rentak pop kontemporari dengan elemen muzik rakyat Borneo.

Irama segar, lirik bermakna dan susunan vokal harmoni menjadikan lagu ini sebagai nadi perayaan Gawai dan Kaamatan yang diraikan oleh masyarakat Dayak dan Kadazandusun.

“Ini bukan sekadar peluang menyanyi, tetapi satu penghormatan untuk menyumbang kepada perayaan budaya yang besar dan penuh makna,” kata Marygrace, yang merakamkan lagu tersebut di Maveriq Studio, Kuala Lumpur.

Beliau turut menyifatkan pengalaman bekerjasama dalam projek ini sebagai sesuatu yang mencabar namun penuh kenangan indah, terutamanya dalam menyesuaikan keharmonian vokal tiga suara berbeza.

Video muzik lagu tersebut turut dirakam di lokasi ikonik sekitar Kuching seperti Sarawak Cultural Village dan Nanga Damai Homestay, menyatukan keindahan alam dan warisan budaya dalam satu persembahan visual yang memukau.

Marygrace juga membuat kemunculan istimewa sempena sambutan Pesta Kaamatan di KDCA, Sabah yang turut disokong oleh Pepsi, sekaligus menonjolkan keupayaan versatilnya sebagai artis pelbagai dimensi.

Tidak hanya terhenti di situ, Marygrace bakal berkongsi pentas bersama empat finalis CSOIAM dalam konsert mega Here I Am Concert Malaysia bersama penyanyi terkenal Rossa pada 14 Jun ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Beliau juga dijadualkan bergandingan dengan barisan artis popular seperti Andmesh, Hael Husaini, Adira Suhaimi dan Ara Johari di Festival Tentang Cinta yang akan berlangsung pada 9 Ogos 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Dengan gabungan bakat, semangat budaya dan sentuhan moden, Marygrace membuktikan bahawa muzik mampu menjadi jambatan perpaduan paling berkesan.

Komen
Loading...