Mary Grace Dinobatkan Juara Calpis Soda One In A Million! – “Saya Masih Rasa Seperti Bermimpi!”
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Mary Grace mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara Calpis Soda One In A Million! Dalam satu momen penuh emosi, penyanyi berbakat besar ini mengakui bahawa dia masih sukar mempercayai kemenangannya.
Dalam satu malam yang dipenuhi dengan persembahan memukau dan debaran yang mencengkam, Mary Grace menewaskan tiga finalis hebat—Kai Deva, Jimi, dan Zazzleen—untuk membawa pulang hadiah utama bernilai RM1 juta, termasuk sebuah Peugeot 408 GT, wang tunai RM500,000, kontrak rakaman bersama Alternate Records, serta lagu baharu yang akan diterbitkan oleh bintang muzik Indonesia, Ade Govinda.
“Saya dengar nama saya diumumkan sebagai juara, saya macam… it’s me? Am I dreaming? Masih dalam perasaan tak percaya. Tapi syukur, Alhamdulillah, Allah dengar doa saya. Saya rasa sangat bersyukur dan speechless,” katanya.
Kemenangan ini lebih bermakna buat Mary kerana ia merupakan impian arwah ayahnya yang telah lama pergi.
“Saya rasa seperti ayah saya menonton saya dari atas sana. Dia pasti menangis kerana anaknya dah besar, tetapi dia tak dapat melihat kejayaan ini. Tapi tak apa… saya harap di mana sahaja saya berada, saya sentiasa dibimbing olehnya. Semua ini untuk dia,” kata Mary dengan penuh emosi.
Grand Finale yang bertemakan Malam Paling Fizz ini bukan sahaja menyaksikan pertandingan sengit antara Top 4 finalis—Mary Grace, Kai Deva, Jimi, dan Zazzleen, tetapi turut dihiasi dengan persembahan hebat daripada Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ella, Faizal Tahir, dan Cakra Khan.
Sepanjang pertandingan, ibu Mary sering hadir memberikan sokongan walaupun menghadapi kesukaran.
“Mom tak dapat datang setiap minggu, tapi bila ada tiket murah, dia akan terbang ke sini. Sebelum saya naik pentas tadi, dia kata, ‘Kau dah lakukannya, kakak!’ Itu buat saya bertambah emosi. Ibu saya tidak sihat, tapi dia tetap ada untuk saya. Saya hampir berputus asa banyak kali, tapi semangat keluarga, kawan-kawan, dan Glam Mary buat saya terus kuat,” luahnya.
Mary sedar kemenangannya mungkin tidak diterima semua orang, namun dia memilih untuk fokus pada perjalanan dan pembelajarannya sepanjang pertandingan.
“Saya tahu ramai yang tak setuju dengan keputusan ini. Saya sendiri pun tak sangka akan menang. Saya fikir mungkin Kai Deva atau Jimmy yang akan menang. Tapi saya hanya buat yang terbaik. Walaupun saya sakit dan batuk, saya tak biarkan itu halang impian saya. Yang penting, saya datang ke sini untuk belajar,”
“Masa saya menyanyi tadi, saya fikir, bagaimana saya nak kawal semua perasaan ini? Tapi bila saya nampak ibu, saya rasa sangat bersyukur dia dapat merasai momen indah ini bersama saya. Saya sangat gembira,” katanya.
Para juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain, dan Cakra Khan, serta juri jemputan Nicholas Saputra dan Faizal Tahir, menilai setiap finalis dengan teliti, menyaksikan perubahan mereka dari episod pertama sehingga ke pentas akhir.
Dengan undian peminat menyumbang 40% keputusan akhir, sokongan padu daripada rakyat Malaysia memainkan peranan besar dalam kemenangan Mary Grace.
Undian yang mencatat rekod luar biasa membuktikan betapa kuatnya pengaruh dan kehebatan bakat baharu ini!