Ikuti Kami:

Marsha Milan ‘Tangisan Seorang Pendosa’ Tampil Visual Hitam Putih

Marsha Milan ‘Tangisan Seorang Pendosa’ Tampil Visual Hitam Putih

Penyanyi bersuara merdu, Marsha Milan, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran muzik video terbaharunya berjudul “Tangisan Seorang Pendosa” yang menampilkan visual hitam putih penuh dramatik dan sarat dengan simbolik keinsafan.

Mengangkat tema pergolakan jiwa, penyesalan dan perjalanan menuju keinsafan, muzik video ini menampilkan pendekatan sinematografi yang berani memadukan gaya visual klasik hitam putih dengan elemen naratif beremosi yang menyentuh hati.

Penggambaran dijalankan di Pulau Pinang, dengan bangunan bersejarah dijadikan latar utama untuk menggambarkan kenangan masa lalu, manakala babak di pelabuhan pula melambangkan masa depan, menghasilkan kesinambungan visual yang penuh makna.

Menurut pengarah dan penerbit 71 Studios, Izuan Mokhtar, kolaborasi bersama Marsha dan pengarah fotografi Mad Nor Kassim menumpukan kepada penyampaian perasaan melalui simbol dan visual, bukan sekadar penceritaan linear.

“Kami mahu penonton bukan hanya menonton, tetapi turut merasai emosi di sebalik setiap babak. Warna hitam putih dipilih bagi menzahirkan suasana melankolik dan abadi, sesuai dengan roh lagu Tangisan Seorang Pendosa,” katanya.

Proses penggambaran turut diwarnai cabaran tersendiri. Rakaman malam di bangunan warisan memerlukan kawalan pencahayaan teliti, manakala faktor cuaca memaksa pasukan produksi menangguhkan rakaman beberapa kali.

Babak di pelabuhan pula perlu disiapkan segera bagi menangkap pencahayaan semula jadi yang sempurna.

Antara momen paling mencabar ialah ketika penggambaran di Raffles Lighthouse, apabila Marsha terpaksa mengatasi ketakutan terhadap ketinggian. Namun dengan ketabahan dan fokus, beliau berjaya menyampaikan nyanyian penuh emosi yang menjadi antara detik paling berkesan dalam muzik video berkenaan.

Marsha tampil menawan dalam gaya serba hitam, menyerlahkan sisi dramatik dan misteri yang menjadi teras kepada keseluruhan konsep visual.

“Bagi saya, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar muzik video, tetapi perjalanan emosi yang begitu peribadi. Ada babak yang sukar kerana saya sendiri perlu melawan ketakutan, namun itulah yang menjadikan penyampaian saya lebih jujur dan tulus,” ujar Marsha.

Lagu “Tangisan Seorang Pendosa” turut menjadi runut bunyi (OST) kepada drama popular Keluarga Itu yang kini mencetus fenomena di TV3 dengan kisahnya yang sarat nilai kekeluargaan dan keinsafan.

Muzik video “Tangisan Seorang Pendosa” boleh ditonton bermula Jumaat, 10 Oktober 2025, jam 8 malam menerusi saluran YouTube rasmi Alternate Records & Talents. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan karya visual penuh jiwa ini.

Komen
Loading...