Ikuti Kami:

Marsha Milan Misompuru: Borneo Album Listening Session

Marsha Milan Misompuru: Borneo Album Listening Session

Sebuah pengalaman budaya yang unik menanti peminat seni dan muzik apabila Misompuru: Borneo Album Listening Session bakal berlangsung pada 13 Julai 2025 (Ahad), dari jam 4 hingga 6 petang di RXP, REX KL.

Acara istimewa anjuran penyanyi dan pelakon tersohor, Marsha Milan, ini merupakan satu penghargaan kepada warisan muzik dan budaya Borneo, serta medium untuk memperkenalkan album terbaharunya bertajuk Misompuru dalam suasana yang intim, interaktif dan penuh makna.

Berinspirasikan istilah Dusun yang bermaksud “keramaian” atau “gathering”, sesi ini bukan sekadar majlis mendengar lagu, malah turut menyajikan gabungan muzik, tarian tradisional dan sajian etnik Sabah dan Sarawak.

Pendekatan ini menjadikan Misompuru lebih daripada sekadar album – ia adalah perayaan budaya Borneo yang disampaikan melalui seni dan suara.

Antara aktiviti menarik yang akan disajikan kepada hadirin termasuk:

  • Persembahan langsung lima lagu daripada album Misompuru, termasuk Nalan Nalan, Lintah Darat, dan Hey Aramai Ti
  • Demonstrasi seni tradisional seperti tarian Magunatip, Sumazau dan penggunaan sumpit
  • Hidangan makanan dan minuman tradisional Borneo
  • Gerai jualan merchandise eksklusif Marsha Milan

Marsha juga menggalakkan para pengunjung hadir dengan busana berinspirasikan budaya Borneo, dengan peluang memenangi kejutan eksklusif secara langsung daripada beliau.

Album Misompuru yang dilancarkan selepas kejayaannya di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) membawa naratif cinta, nostalgia dan kerinduan terhadap tanah kelahiran, serta mempersembahkan irama yang jarang diketengahkan dalam industri muzik arus perdana.

Lebih membanggakan, album ini turut membawa Marsha ke pentas antarabangsa menerusi ROUND ASEAN-Korea Music Festival 2025, sebagai wakil identiti muzik Borneo di peringkat global.

Kemasukan ke acara ini adalah percuma, namun tempat adalah terhad. Peminat disarankan untuk mendaftar lebih awal menerusi kod QR yang disediakan di poster promosi.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir, lagu-lagu dari Misompuru kini tersedia di semua platform penstriman digital utama.

Komen
Loading...