Ikuti Kami:

Marsha Milan Londoh Sah Sertai Konsert Sumandak Stars

Marsha Milan Londoh Sah Sertai Konsert Sumandak Stars

Penyanyi popular, Marsha Milan Londoh, sebelum ini memilih untuk mendiamkan diri mengenai isu kontroversi berkaitan konsert Sumandak Stars yang bakal berlangsung pada 30 November depan. Namun, baru-baru ini Marsha mengesahkan bahawa dia akan turut serta dalam konsert tersebut.

Menurut Marsha, keputusan awal untuk tidak mengulas lanjut adalah disebabkan kekurangan maklumat dari pihak penganjur.

“Pada ketika itu, saya belum berjumpa atau berbincang dengan pihak penganjur, jadi saya tidak dapat sebarang informasi tentang konsert itu,” katanya ketika ditemubual oleh MELODI.

“Alhamdulillah, beberapa hari lalu saya akhirnya berjumpa dengan mereka dan kini saya sudah mendapat gambaran jelas mengenai konsert tersebut. Jadi, saya ingin mengumumkan bahawa saya akan turut serta.”

Marsha turut menambah bahawa dia seorang yang sangat berhati-hati dan teliti dalam membuat keputusan, terutama berkaitan dengan kerjayanya.

“Saya jenis yang sangat particular dan akan memeriksa setiap butiran mengenai sesuatu acara. Hanya apabila saya yakin barulah saya akan bersetuju untuk melakukan persembahan,” ujarnya.

“Sebagai wakil dari Sabah dalam industri muzik, saya tidak keberatan berkongsi pentas dengan orang kampung saya. Semua orang di situ sedang berusaha mencari rezeki.”

Dalam pada itu, Marsha turut berkongsi bahawa hubungan dengan pihak penganjur adalah sangat baik.

“Saya sudah berjumpa mereka dan kini saya faham apa yang perlu saya lakukan.” tambahnya.

Konsert A Night With Sumandak Stars yang akan diadakan pada 30 November ini di Zepp Kuala Lumpur akan menampilkan penyanyi-penyanyi kelahiran Sabah termasuklah Azharina Azhar, Ayu Damit, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Wany Kayrie, Bella Astillah, Didi Astillah, Salma Asis dan Marsha Milan.

Komen
Loading...