Maroon 5 Gegarkan Kuala Lumpur dalam Konsert Jelajah Asia 2025
- oleh Mohd Indera
- 4 bulan lalu

Kumpulan pop rock terkenal, Maroon 5, menggegarkan Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam dengan sebuah konsert penuh bertenaga dalam jelajah Asia 2025 mereka.
Sebaik sahaja pintu dibuka, ribuan peminat sudah membanjiri stadium dengan penuh semangat, tidak sabar untuk menyaksikan persembahan ikonik daripada Adam Levine dan anggota bandnya yang lain.
Konsert yang bermula tepat jam 8 malam ini menyaksikan Maroon 5 membawakan rangkaian lagu hit mereka yang sudah sinonim dengan peminat.
Mereka memulakan persembahan dengan Animals, diikuti oleh lagu-lagu seperti One More Night, This Love, dan Stereo Hearts, yang merupakan kolaborasi terkenal Adam Levine bersama Gym Class Heroes.
Suasana menjadi semakin hangat apabila mereka mempersembahkan lagu-lagu popular lain seperti Harder to Breathe, Lucky Strike, Sunday Morning, dan Payphone.
Energi penonton semakin membara apabila band ini meneruskan persembahan dengan What Lovers Do, Makes Me Wonder, Maps, dan Memories, yang mencetuskan nostalgia dalam kalangan peminat.
Mereka juga menyanyikan Don’t Wanna Know, Love Somebody, dan salah satu lagu paling ikonik mereka, Moves Like Jagger, yang membuatkan penonton menari dan menyanyi bersama.
Walaupun hujan turun sepanjang persembahan, semangat peminat tidak luntur. Dengan memakai baju hujan dan ada yang berpayung, mereka tetap setia berdiri di hadapan pentas, menari dan menyanyikan setiap bait lirik lagu kegemaran mereka.
Adam Levine, vokalis utama kumpulan ini, turut mengungkapkan rasa kagum terhadap peminat Malaysia yang tetap bersemangat walaupun dalam keadaan cuaca yang kurang baik.
“You guys are amazing! Rain or shine, you’re still here, and we love you for that!” katanya, disambut dengan sorakan kuat daripada hadirin.
Sebagai penutup, Maroon 5 menghadiahkan peminat dengan persembahan lagu-lagu penuh emosi seperti She Will Be Loved, Girls Like You, dan akhirnya, Sugar, yang menutup malam tersebut dengan penuh gemilang.
Bagi kebanyakan mereka, ini adalah peluang sekali seumur hidup untuk melihat band kegemaran mereka secara langsung.
Walaupun terdapat beberapa kekurangan, termasuk tempoh konsert yang agak singkat dan beberapa isu logistik seperti kesesakan lalu lintas serta ketiadaan lanjutan perkhidmatan LRT, kehadiran Maroon 5 di Kuala Lumpur tetap memberikan impak besar kepada industri muzik tempatan.
Malam itu menjadi bukti bahawa Maroon 5 masih mempunyai pengaruh yang kuat dan berjaya mencipta memori indah buat peminat setia mereka di Malaysia.