Ikuti Kami:

Marionexxes, Otam, Moda Moody & Doranisa Raikan Hari Malaysia di Kantin Gombak

Marionexxes, Otam, Moda Moody & Doranisa Raikan Hari Malaysia di Kantin Gombak

Sambutan Hari Malaysia tahun ini diraikan penuh warna-warni dengan persembahan muzik dan puisi melalui acara khas “Harimau Malaya” yang berlangsung di Kantin Gombak malam ini.

Acara anjuran Kotak Hitam MY bersama Kantin Gombak dan Hardware itu menampilkan barisan artis tempatan seperti Marionexxes, Otam, Moda Moody serta Doranisa & Friends yang bergandingan menghiburkan penonton dengan persembahan unik dan penuh semangat patriotik.

Marionexxes menjadi tumpuan utama dengan persembahan lagu-lagu popular mereka selain sesi Meet & Greet dan soal jawab bersama peminat.

Lebih istimewa, penampilan kali ini turut menandakan ‘comeback’ Marionexxes ke pentas seni, sekali gus menjadi pemanas kepada jelajah konsert mereka yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Otam dan Moda Moody pula menyajikan persembahan akustik yang santai, manakala Doranisa & Friends membawa sisi berbeza dengan bacaan puisi yang menyentuh hati dan sarat dengan nilai kebersamaan rakyat Malaysia.

Selain persembahan, pengunjung turut berpeluang mendapatkan barangan eksklusif artis serta menikmati pelbagai pilihan sajian daripada vendor makanan tempatan di Kantin Gombak, menjadikan acara ini bukan sekadar hiburan tetapi juga ruang santai mesra keluarga.

“Acara ini bukan sahaja meraikan Hari Malaysia, malah menjadi simbol perpaduan dan sokongan terhadap karya seni tempatan,” kata penganjur dalam kenyataan.

Kemuncak malam dijangka apabila lagu Harimau Malaya yang pernah tular dipersembahkan, meniupkan lagi semangat patriotik sempena ulang tahun kemerdekaan dan penyatuan rakyat Malaysia.

Komen
Loading...