Ikuti Kami:

MARii bantu PMKS guna pendigitalan perniagaan

MARii bantu PMKS guna pendigitalan perniagaan

KUALA LUMPUR, 29 April — Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan membantu kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan tahap pendigitalan masing-masing bagi menangani ekosistem perniagaan yang terjejas sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari berkata pelbagai program peningkatan telah dibangunkan oleh agensi kerajaan itu bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) MKS menggunakan teknologi digital dalam operasi harian.

Malah, usaha itu kini diperluaskan kepada lebih ramai usahawan terbabit untuk menangani impak pasca PKP tersebut, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ini juga sejajar dengan keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan sektor ekonomi yang beroperasi pada tahap separuh kapasiti dalam PKP fasa 1,2 dan 3 untuk meneruskan operasi secara sepenuhnya mulai hari ini.

Langkah itu bertujuan menghidupkan semula rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan tempatan dan asing dengan impak lebih positif, terutamanya kepada PKS.

Selain itu, Madani turut mengingatkan syarikat-syarikat untuk menerima kelaziman baharu ini dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta garis panduan kesihatan yang telah ditetapkan.

“Sebaik sahaja PKP ini ditamatkan, kami menjangkakan dapat melihat perubahan aliran serta tingkah laku pengguna yang lebih berminat untuk membeli-belah secara dalam talian. Ini akan menyebabkan perniagaan yang asing dengan teknologi digital ini menjadi kurang relevan di pasaran,” katanya.

Menurutnya, pandemik COVID-19 itu akan turut mengubah kaedah dan SOP syarikat dalam jangka panjang dan memerlukan usahawan melaksanakan teknologi digital seperti analisis data, automasi, pengurusan inventori, perancangan pengeluaran dan penyelenggaraan peralatan.

Pada 2019, MARii telah melancarkan dua program bagi mempertingkat usaha penerapan teknologi dalam kalangan PKS termasuk Program Pembangunan Usahawan Tekno (TDP) yang dilancarkan pada Oktober 2019 bagi memperkasa penggunaan sistem dan perkakasan digital dalam operasi perniagaan.

Sebanyak 10 PMKS industri kraftangan, perabot dan makanan dipilih untuk menyertai program enam bulan bagi menggunakan teknologi dalam usaha rekaan produk, pengurusan operasi, pemasaran serta jualan secara digital di peringkat perniagaan masing-masing.

Satu lagi program – Platform Teknologi Pintar MARii (MITP) pula dibangunkan bagi menyokong keperluan infrastruktur dalam teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (Inddustri 4.0) untuk PKS.

MITP merupakan penyelesaian sehenti untuk syarikat kecil dan besar mengurus dan mengendalikan operasi menggunakan teknologi industri 4.0, terutama menerusi Pengurusan Data Raya.

“Platform ini membolehkan aspek pengumpulan, analisis dan penyepaduan data dari semua aspek operasi syarikat bagi mengenal pasti aliran serta corak perniagaan secara tepat dan membantu pihak pengurusan membuat keputusan lebih baik,” katanya.

Syarikat yang berminat menyertai program ini boleh menghubungi MARii menerusi laman sesawang www.marii.my, e-mel [email protected] atau di saluran media sosial @MARiiMalaysia.

— BERNAMA

Komen
Loading...