Manulife Malaysia Perkenal Pelan Perubatan Komprehensif Baharu: Manulife Health Saver Enrich
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Manulife Insurance Berhad hari ini melancarkan Manulife Health Saver Enrich (MHSE), sebuah pelan perubatan inovatif yang menawarkan perlindungan insurans menyeluruh sepanjang perjalanan penjagaan kesihatan pelanggan, daripada langkah pencegahan, rawatan, pemulihan sehinggalah ke fasa penyembuhan.
MHSE direka khusus untuk menyokong keperluan kesihatan peribadi rakyat Malaysia, dengan menekankan aspek pencegahan melalui galakan vaksinasi terhadap penyakit seperti denggi, influenza, kanser serviks dan penyakit pneumokokal.
Pelan ini turut menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar dan pesakit dalam, serta penjagaan susulan termasuk saringan kanser selepas tempoh pemulihan.
Antara ciri utama MHSE termasuk Diskaun Tanpa Tuntutan (No Claims Discount – NCD) sehingga 40 peratus, antara yang tertinggi dalam industri, yang ditawarkan secara berperingkat berdasarkan rekod tuntutan pelanggan. Pelan ini juga menawarkan penetapan harga yang fleksibel dan dinamik, sesuai dengan tahap perlindungan yang diinginkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Malaysia, Vibha Coburn, pelan ini bukan sekadar perlindungan kesihatan tetapi bertindak sebagai rakan sokongan sepanjang perjalanan kesihatan pelanggan.
“Saya sangat teruja kerana kami berjaya melancarkan satu penyelesaian yang memenuhi keperluan perubatan menyeluruh pelanggan kami. Matlamat kami adalah untuk menyediakan perlindungan jangka panjang, nilai yang berpatutan dan ketenangan minda kepada pelanggan serta keluarga mereka,” katanya.
Bagi isi rumah di Malaysia, MHSE turut menyediakan diskaun keluarga sehingga 10 peratus, menjadikannya pilihan yang mampu milik dan menyeluruh untuk perlindungan kesihatan keluarga.
Sempena pelancaran ini, Manulife turut memperkenalkan Program Penukaran Terjamin MHSE bagi membolehkan pelanggan sedia ada dengan produk perubatan terpilih beralih kepada MHSE tanpa penilaian perubatan. Program ini ditawarkan dari 11 April hingga 30 September 2025.
“Program penukaran ini memastikan pelanggan setia kami dapat menikmati inovasi terkini tanpa halangan,”
“Dengan tempoh menunggu yang dikecualikan dan pemprosesan keutamaan, kami menghargai pelanggan yang memilih untuk beralih kepada MHSE.” tambah Coburn.
Untuk maklumat lanjut mengenai MHSE, pelanggan boleh mengunjungi laman web Manulife Malaysia atau menghubungi wakil sah syarikat.