Ikuti Kami:

MANGU: Sentuhan Magis Ari Lesmana, DJ Firza Bakal Gegar Zepp KL Ogos Ini

MANGU: Sentuhan Magis Ari Lesmana, DJ Firza Bakal Gegar Zepp KL Ogos Ini

Vokalis berkarisma dari Indonesia, Ari Lesmana, bakal membawa peminat di Malaysia menyelami sebuah perjalanan emosi yang mendalam menerusi siri jelajah solonya, “MANGU”, yang dijadualkan berlangsung di Zepp KL pada 15 Ogos 2026.

Dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, malah ia merupakan sebuah naratif seni yang dirancang khas untuk membawa penonton masuk ke dalam ruang fikiran dan jiwa pencerita muzik ulung tersebut.

Menurut wakil Rockstage Entertainment, Istilah ‘Mangu’ merujuk kepada keadaan seseorang yang terdiam, terkesima, atau termenung jauh dalam menyelami perasaan yang mendalam, sama ada rindu, kehilangan, mahupun ketenangan.

“Melalui konsert ini, Ari berhasrat menterjemahkan perasaan tersebut ke dalam bentuk visual dan bunyi, sekali gus menawarkan ruang untuk peminat “berehat” sejenak daripada hiruk-pikuk dunia.” katanya.

Apa yang menarik perhatian pada siri jelajah kali ini adalah gabungan vokal ikonik Ari dengan sentuhan moden daripada DJ Firza.

Kolaborasi unik ini menjanjikan susunan muzik yang lebih segar, menggabungkan elemen akustik yang menjadi tanda dagang Ari dengan lapisan bunyi elektronik yang dinamik.

Malam tersebut akan bertambah istimewa dengan kehadiran ENAU sebagai artis jemputan. Dikenali dengan lirik-lirik jujur dan penyampaian bersahaja, kehadiran ENAU dijangka melengkapkan lagi penceritaan yang ingin disampaikan sepanjang konsert berlangsung.

“Ia adalah sebuah sesi ‘healing’ secara kolektif di mana muzik menjadi bahasa utama untuk menyatukan hati.” katanya.

Pemilihan Zepp KL sebagai lokasi acara dilihat amat tepat bagi memastikan kualiti akustik berada pada tahap terbaik. Dengan suasana yang lebih dekat dan intim, penonton berpeluang merasai setiap getaran suara dan emosi yang disampaikan secara langsung.

Peminat yang ingin menyaksikan perpaduan antara puisi dan teknologi muzik ini boleh mendapatkan tiket menerusi laman sesawang www.myticketempire.com.

Loading...