Mangsa Scam Tiket Tetap Diberi Peluang Menonton Konsert Aura Ernie Zakri
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Meskipun menjadi mangsa scam tiket, 14 peminat tetap diberi peluang untuk menikmati Aura Ernie Zakri Live Concert yang berlangsung di Plenary Hall KLCC, hasil keprihatinan dan usaha pantas pasukan penganjur, Sah Entertainment.
Menurut Sufie Rashid, penganjur acara tersebut, pihaknya menerima laporan daripada peminat yang menyedari tiket mereka adalah palsu setelah tiba di lokasi konsert.
“Ada yang datang dari Sarawak dan Brunei, dan mereka sangat kecewa apabila menyedari telah ditipu. Kami tidak sanggup melihat mereka pulang tanpa menikmati persembahan Ernie Zakri,” kata Sufie.
Pihak penganjur segera bertindak memastikan kesemua mangsa scam ini diberi tempat duduk yang sesuai.
“Kami memanfaatkan tempat duduk yang tidak digunakan (tidak hadir), termasuk pelepasan saat akhir. Kami mahu semua peminat yang telah bersusah payah hadir tetap dapat merasai keajaiban konsert ini,” jelasnya.
Usaha ini bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila konsert telah diumumkan ‘sold out’. Namun, Sufie menegaskan bahawa kebahagiaan peminat menjadi keutamaan pasukannya.
“Kami memastikan setiap mangsa diberi perhatian, dan akhirnya semua 14 peminat yang menjadi mangsa penipuan tiket berjaya mendapat tempat duduk dan menikmati persembahan,” tambahnya.
Kes ini menjadi peringatan penting kepada peminat agar lebih berhati-hati semasa membeli tiket.
“Kami menasihatkan peminat untuk membeli tiket hanya daripada platform rasmi dan mengelakkan reseller yang tidak dikenali. Isu seperti ini boleh dielakkan jika pembelian dibuat melalui saluran yang betul,” kata Sufie.
Konsert Aura Ernie Zakri Live menjadi detik istimewa bukan sahaja kerana persembahan luar biasa oleh Ernie Zakri, tetapi juga kerana keprihatinan pihak penganjur yang memastikan tiada peminat dikecewakan.
Bagi peminat yang hadir, pengalaman ini meninggalkan kenangan manis yang akan dikenang sepanjang hayat.