Ikuti Kami:

Man Keedal Goncang Pentas ASWARA

Man Keedal Goncang Pentas ASWARA

Kelincahan gitaris legenda tanah air, Man Keedal, sekali lagi membuktikan zamannya belum berakhir apabila beliau berjaya memukau ratusan penonton dalam satu persembahan bertenaga di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), malam tadi.

​Konsert Aspirasi Man Keedal & Friends yang turut menampilkan penyanyi bertenaga, Syamel Amzah, menyaksikan satu kolaborasi luar biasa yang menggabungkan elemen rock legenda dengan vokal moden yang cukup dinamik.

​Suasana di Dewan Orkestra semakin hangat apabila dua figura ikonik industri muzik, Dato’ Nash dan Dato’ Ramli Sarip, membuat kemunculan istimewa di atas pentas.

Kehadiran mereka bukan sahaja mengejutkan penonton, malah mengimbau nostalgia kegemilangan muzik rock tanah air menerusi paduan suara yang masih berbisa.

​Penganjuran oleh Timeless Studio dengan kerjasama Fakulti Muzik ASWARA itu ternyata menjadi simbolik kepada kelangsungan seni muzik tempatan yang merentas generasi, menyatukan otai muzik dan bakat baharu dalam satu naskhah seni yang harmoni.

​Selain kelibat Man Keedal yang merupakan penerima Anugerah Seni Tanah Air Malaysia Maestro, pentas turut dihangatkan dengan kehadiran barisan pemuzik ternama seperti Ritz Metalasia, Fly Halizor, Belle Fattah, dan Adam Maulana.

​Persembahan pembukaan oleh kumpulan Nalurist Band yang dianggotai pelajar ASWARA turut mencuri tumpuan, sekali gus membuktikan komitmen penganjur dalam memberi ruang kepada bakat muda berkongsi pentas dengan tokoh profesional.

​Menurut wakil penganjur, Datuk Sulaiman dari Timeless Studio, konsert ini bertujuan mengangkat martabat seni muzik tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

​“Konsert ini membuktikan bahawa seni mampu menyatukan pelbagai latar belakang dan menjadi medium pendidikan serta inspirasi kepada masyarakat, terutamanya generasi muda di ASWARA,” katanya.

​Pengiktirafan Man Keedal sebagai ‘Maestro’ dalam konsert tersebut turut menjadi suntikan semangat buat pemuzik baharu untuk menghargai nilai disiplin dan kreativiti dalam berkarya.

​Majlis yang berlangsung penuh gemilang itu turut mendapat sokongan penaja utama seperti Cerlene Genuine Leather, Kafe Sarawak Laksa, dan Uber Tickets.

​Pihak ASWARA dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan konsert ini, yang diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak program kolaborasi seni pada masa hadapan demi memartabatkan industri muzik tanah air.

Komen
Loading...