Mamat, Ezad Kembali Sepentas, Konsert Memento Mori Jadi ‘Anugerah’ Buat Peminat Exists
- oleh MDaily Editor
- 23 Apr 2026 11:42 pm
Selepas sekian lama peminat mendambakan penyatuan semula di atas satu pentas, kumpulan legenda Nusantara, Exists, akhirnya mengesahkan bakal muncul dalam sebuah konsert berskala besar, Konsert Exists Memento Mori yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos 2026.
Istimewanya, konsert yang bakal menggegar Unifi Arena, Bukit Jalil itu bukan sahaja menghimpunkan pemuzik asal iaitu Along, Ujang, Musa, Ajai dan Shah, malah turut menggabungkan dua vokalis ikonik mereka, Mamat dan Ezad, dalam satu persembahan penuh nostalgia.
Penganjur daripada ICON Entertainment, Iman Tang, menyifatkan konsert ini sebagai sebuah ‘Anugerah’ buat peminat tegar yang setia menyokong perjalanan seni kumpulan itu sejak 35 tahun lalu.

”Kenapa kami sifatkan ia sebagai sebuah anugerah? Kerana ia menggabungkan kesemua tujuh anggota asal. Kita tahu Ezad telah lama meneruskan perjuangan Exists dalam fasa baharu, manakala Mamat adalah nakhoda awal. Apabila mereka kembali sepanggung, ia adalah satu momen yang cukup mahal,” katanya.
Persembahan Maksimum Hampir 3 Jam
Bagi peminat yang merindui lagu-lagu berhantu seperti Untukmu Ibu dan Mencari Alasan, konsert ini menjanjikan durasi persembahan yang panjang demi memuaskan hati penonton.
Menurut pemain bass Exists, Musa, kehadiran dua vokalis membolehkan mereka merancang set senarai lagu yang lebih padat dan unik, termasuk lagu-lagu yang jarang dimainkan dalam konsert sebelum ini.

”Jika kita lihat sejarah, Mamat mempunyai tiga album manakala Ezad mempunyai lebih banyak album. Jadi, pembahagian lagu akan menyaksikan Ezad menyanyi lebih sedikit, namun secara keseluruhan, kami mampu beraksi antara dua jam 50 minit hingga tiga jam tanpa masalah,” jelas Musa.
Sementara itu, pemain gitar utama, Along, menyifatkan judul ‘Memento Mori’ sebagai refleksi tepat terhadap perjalanan roller coaster Exists.

”Konsert ini merupakan satu ruangan hati. Ada peminat yang membesar, jatuh cinta, malah berkahwin dengan lagu-lagu kami. Walaupun ada perbezaan pendapat atau kontroversi sebelum ini, kami tetap menghormati antara satu sama lain sebagai rakan sekerja dan pemuzik.
”Kami harap peminat dari Malaysia, Indonesia, dan Singapura dapat hadir memberikan sokongan pada 1 Ogos nanti,” tambah Along.
Selain itu Along turut mengesahkan Exists akan menghadiahkan satu lagu baru nyanyian Mamat dan satu lagu Exists nyanyian Ezad yang diberikan nafas baru.

Harga tiket bermula RM288 dan akan mula dijual pada 30 April 2026, jam 11 pagi menerusi laman web www.ticket2u.com.my/ExistsMori.
