Mamat Exists Ubat Rindu Peminat Menerusi Mamat Mekar Showcase
- oleh MDaily Editor
- 15 Jan 2026 9:10 pm
Para peminat Mamat Exists berpeluang melepaskan rindu untuk mendengar lagu evergreen, Rahsia Pohon Cemara hasil lantunan penyanyi bersuara emas itu menerusi Mamat Mekar Showcase di Kuala Lumpur bulan depan.
Showcase eksklusif Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin bersama 200 peminat itu dijadual berlangsung di IDEAS Kuala Lumpur Hotel, Jalan Raja Laut pada 13 Februari.
Malah lebih istimewa penampilan solo penyanyi yang bakal menginjak ke usia 48 tahun pada April depan akan dibuat secara ‘unplugged’ sebagai kemunculan awal beliau yang sebelum ini pernah terpalit dengan sejarah silam.
“Saya melihat ini sebagai peluang keemasan untuk saya mendekati dan berinteraksi lebih mesra dengan para peminat serta media.
“Walaupun showcase ini terhad kepada 200 penonton sahaja mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa hanya 200, bukan 1000 atau 2000 ini adalah perancangan awal kami untuk mengeratkan hubungan dengan anda semua (peminat)
“Saya percaya, showcase ini mampu menarik kembali dan mendekatkan diri dengan peminat-peminat saya yang sentiasa setia. Mungkin ia tidak kelihatan besar pada pandangan umum, tetapi bagi saya ini adalah satu langkah yang amat bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Mamat Mekar Showcase di Sudirman Cafe, Alamis City Hotel Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Rahsia Pohon Cemara Mamat merancang untuk mendendangkan lapan hingga 10 lagu hasil karya bersama Exists dan tiga album solonya.
Ia termasuk lagu Langkah Semakin Ringan, Janji Padamu, Nota di Lautan Sepi, Janji Bidadari, Untukmu Ibu dan Salju di Danau Rindu.
“Mana-mana peminat tegar memang tahu, semuanya lagu hits. Secara ‘unplugged’ dan santai sambil makan. Disebabkan ada sesi makan, jadi kalau main lagu ‘gong geng gong geng’ takut mereka tercekik dan jadi kes lain pula,” ujar Mamat berseloroh.
Menyentuh mengenai persiapan menjelang showcase istimewa itu, Mamat menyifatkan ia berjalan dengan baik, namun tetap wujud perbezaan berbanding beliau ketika bersama Exists dan di awal bergerak secara solo.
“Saya masih lagi dalam proses pemulihan, jadi daripada segi suara dan penyampaian ia satu permulaan baharu. Maknanya ‘the new me’ dan tidak sama. Ini Mamat yang baharu,” ujar penyanyi yang berasal dari Johor itu.
Perjalanan solo Mamat kini diuruskan oleh Mekar Management yang ditubuhkan semata-mata untuk Mamat oleh seorang peguam, Azlina Abdul Aziz.
“Di bawah pengurusan Mekar Management saya mula ‘move on’ untuk meneruskan apa yang sepatutnya saya lakukan. Saya berharap, walaupun showcase ini berskala kecil, ia membawa makna yang besar.
“Kami akan mengadakan satu sidang media untuk menguar-uarkan kepada semua bahawa ini adalah titik perubahan dan permulaan baharu untuk saya meneruskan kerjaya seni,” ujar Mamat.
Bermula sebagai peguam pro bono, Azlina yakin dan percaya sekiranya Mamat berada di bawah jagaan dan pengurusan yang betul, penyanyi itu boleh bangkit dan berkarya semula dengan lebih baik.
Mamat mula terkenal sebagai vokalis asal kumpulan rock pop Exists sejak 1991 dan kemudiannya meninggalkan kumpulan itu pada 1994 untuk kerjaya solo.
Mamat ketika ini dalam proses rawatan dan pemulihan Persatuan Pengasih Malaysia di Kompleks Pengasih Cinta Manis, Bentong, Pahang.




