Ikuti Kami:

‘Mama Papa Raya’ Bukti Aliff Syukri Mampu Viral Tanpa Gimik Melampau

‘Mama Papa Raya’ Bukti Aliff Syukri Mampu Viral Tanpa Gimik Melampau

Sangat sinonim dengan pelbagai gimik kontroversi setiap kali melancarkan karya baharu, usahawan selebriti, Dato’ Sri Aliff Syukri kali ini membuktikan sebaliknya menerusi lagu terbaharunya, Mama Papa Raya.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, lagu yang menampilkan kolaborasi bersama isterinya, Datin Sri Nur Shahida serta anak-anak, Qadejah El Zahra dan Ammar Ahyan itu berjaya mencetuskan fenomena secara organik tanpa bantuan gimik “panas”.

Dilancarkan pada awal Feb lalu, Aliff meluahkan rasa syukur kerana lagu tersebut mendapat tempat di stesen radio utama seperti Era, Hot FM dan Sinar.

“Jujurnya kali ini memang paling tidak ada gimik. Saya sendiri tak sangka lagu ini boleh viral sebab kami tidak berbelanja besar pun untuk pemasaran kali ini. Kami buat ini sekadar hobi untuk anak-anak, apatah lagi lagu ciptaan Amy Ukays ini sebenarnya sudah dibayar sejak dua tahun lalu.

“Terima kasih kepada semua komentar positif. Saya rasa lebih tenang bila kali ini tular dengan benda yang baik. Dulu, setiap kali ada kontroversi, isteri saya sering ditegur orang luar.

“Sekarang, alhamdulillah, semuanya lebih harmoni,” katanya di Majlis Berbuka Puasa D’Herbs yang berlangsung di Grand Ballroom, Concorde Hotel Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, Datin Sri Nur Shahida yang turut hadir mengakui penglibatannya dalam lagu tersebut adalah atas dasar memenuhi permintaan keluarga.

“Ramai yang bertanya sama ada saya akan buat comeback (seperti zaman kumpulan Soleha), tapi bagi saya fasa itu sudah berlalu. Fokus saya kini adalah keluarga dan perniagaan.

“Lagu Mama Papa Raya ini lebih kepada kenangan untuk kami sekeluarga. Walaupun menguruskan anak-anak kecil semasa penggambaran video muzik (MV) bukan tugas mudah, namun maklum balas positif peminat amat menyentuh hati,” jelas beliau.

Mengulas mengenai perubahan imejnya yang kini dilihat lebih ‘tenang’, Aliff mendedahkan bahawa beliau kini dalam fasa untuk memperlahankan watak agresif di media sosial demi menjaga maruah anak-anak.

Menjelang usia 40 tahun, jutawan kosmetik ini nekad untuk mengurangkan kandungan yang boleh mengundang kecaman melampau.

“Dulu saya terpaksa buat iklan ‘bodoh’ dan menjerit-jerit untuk mencuri perhatian kerana saya bukan penyanyi yang bersuara sedap. Saya gunakan tenaga untuk dikenali dalam industri yang sangat kompetitif ini.

“Tetapi sekarang, saya mahu anak-anak saya dikenali kerana ilmu dan maruah. Saya tak mahu mereka dihina gara-gara perbuatan saya. Sudah tiba masanya saya berhenti menjadi ‘badut’ dan fokus kepada legasi perniagaan yang lebih bersih serta matang,” tambahnya lagi.

Sehingga kini, lagu Mama Papa Raya terus mencatatkan angka tontonan jutaan ringgit di YouTube serta menjadi antara lagu raya yang paling banyak digunakan di aplikasi TikTok bagi musim perayaan 2026.

Loading...