Ikuti Kami:

Malik Choo Lancar Single ‘Move On’ Hasil Sentuhan Altimet

Malik Choo Lancar Single ‘Move On’ Hasil Sentuhan Altimet

Penyanyi rap tri-bahasa, Malik Choo, melancarkan single ketiga berjudul Move On yang menyaksikan evolusi artistiknya ke arah identiti muzik yang lebih matang.

Karya yang menggabungkan elemen rap pop dan R&B moden itu merupakan terbitan SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, serta mendapat sentuhan kreatif daripada pengkarya tersohor, Altimet atau lebih dikenali sebagai Mambang.

Malik, 34, berkata lagu berkenaan merupakan sebuah manifesto peribadi yang menceritakan fasa kehidupannya dalam belajar melepaskan perkara yang tidak lagi memberi nilai positif.

“Move On lahir ketika saya belajar untuk reda dan melepaskan apa yang membebankan hati. Ia bukan sekadar lagu, tetapi pesanan kepada diri sendiri dan pendengar bahawa hidup perlu diteruskan dengan langkah yang lebih ringan dan yakin,” katanya pada majlis perlancaran semalam.

Lagu tersebut turut mendapat khidmat penerbitan daripada Mas Dewangga, Jova Devito, dan Kidd Santhe, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Altimet yang juga bertindak sebagai mentor kepada Malik.

Mengulas mengenai penglibatan Altimet, Malik menyifatkan kerjasama itu sebagai satu penyatuan visi yang harmoni dalam mencorakkan emosi lagu agar kekal santai namun tetap menyentuh hati.

Selain kekuatan melodi, video muzik (MV) Move On arahan Evan Lim turut menampilkan sisi berbeza Malik menerusi koreografi dinamik oleh Meor Mukhris yang diinspirasikan daripada persembahan K-pop.

“Kami hanya mempunyai masa seminggu untuk menjalani latihan intensif bagi MV ini. Walaupun mencabar, saya berpuas hati dengan hasilnya yang lebih rapi dan berprestasi tinggi,” tambahnya.

Single Move On juga merupakan sebahagian daripada projek di bawah Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0 (DKK Industri Muzik) yang disokong oleh MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi.

Terdahulu, Malik yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris, dan Kantonis mula dikenali menerusi beberapa kolaborasi hit seperti Kita Jaga Kita dan Lelaki Di Telefon.

Move On kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala video muziknya di saluran YouTube VEVO @MalikChoo.

Komen
Loading...