Ikuti Kami:

MALF2025: Festival Auto & Gaya Hidup Malaysia 2025 Kembali Lebih Meriah, Sasar 15,000 Pengunjung

MALF2025: Festival Auto & Gaya Hidup Malaysia 2025 Kembali Lebih Meriah, Sasar 15,000 Pengunjung

Festival Auto & Gaya Hidup Malaysia (MALF) 2025 bakal kembali lebih hebat dan meriah apabila menganjurkan edisi ketiganya di Litar Antarabangsa Sepang pada 13, 14 dan 15 Jun ini.

Menggabungkan dunia permotoran, budaya dan gaya hidup dalam satu acara gergasi, festival selama dua hari itu dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Berbeza daripada pameran automotif biasa, MALF 2025 menampilkan gabungan unik aktiviti sukan permotoran, persembahan budaya pelbagai kaum, makanan tempatan, serta ruang interaktif untuk seisi keluarga. Masuk adalah percuma bagi semua pengunjung.

Antara tarikan utama termasuk demonstrasi drift, hari rasmi litar, akses ke kawasan pit, pameran kereta retro dan perhimpunan mega lebih 800 buah kereta oleh pelbagai kelab tempatan serta antarabangsa.

Penganjuran kali ini menyaksikan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya, menurut Ketua Pegawai Eksekutif KL Works merangkap penganjur utama, Malcolm Khoo.

“Kalau kita lihat semula, tahun pertama kita hanya ada 220 buah kereta, tahun kedua meningkat kepada 330. Tahun ini, kita sasarkan 800 buah kereta, termasuk kereta drift, GT dan pasukan perlumbaan profesional. Kami juga tawarkan pengalaman pelbagai jenis motorsport secara langsung,” katanya dalam sidang media yang diadakan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa festival kali ini menerima penyertaan peserta dari Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei, menunjukkan perkembangan pengaruh serantau MALF sebagai antara festival permotoran paling dinamik di Asia Tenggara.

Salah satu kemuncak istimewa tahun ini ialah penampilan “Legends of Speed” yang tediri dari lapan ikon sukan permotoran Malaysia daripada pelbagai disiplin.

Antara nama besar yang bakal membuat kemunculan termasuk legenda perlumbaan motosikal, Sonny Soh; juara rali kebangsaan, Karamjit Singh; Raja Drift negara, Tengku Djan; dan bekas pelumba A1 GP, Fairuz Fauzy. Turut serta ialah pelumba GT, Akash Nandy; pelumba jet ski, Alex Wong; pelumba LMP, Zen Low; serta personaliti permotoran terkenal.

Kehadiran mereka bukan sahaja menyemarakkan semangat festival, tetapi juga memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan demonstrasi dan bertemu sendiri dengan ikon yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Bagi menambah warna kepada festival, pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan budaya tradisional dari pelbagai etnik termasuk tarian etnik Borneo serta demonstrasi kebudayaan Melayu, Cina dan India, menjadikan festival ini sebagai pentas kebangsaan yang mencerminkan semangat 1Malaysia.

“Kita tidak boleh padamkan budaya kita. Kalau kita mahu dunia tengok siapa kita, kita mesti bawa gong, baju Melayu, tarian tradisional dan warisan kita ke pentas utama. MALF adalah platform untuk menunjukkan siapa kita sebagai rakyat Malaysia,” tambah Khoo lagi.

Bagi keluarga, terdapat pelbagai tarikan mesra pengunjung termasuk zon kanak-kanak, ruang istirahat wanita, bazar makanan, pameran produk tempatan, Festival Motosikal, Larian Kopi dan Auto Icons Show.

Jadikan hujung minggu Hari Bapa ini lebih bermakna dengan pengalaman unik penuh adrenalin dan kepelbagaian budaya di MALF 2025 dan kemasukan adalah percuma, hanya di Sepang!

Komen
Loading...