IKLAN

Malaysia Hantar Pulang 367 Rakyat India

Kerajaan Malaysia hari ini menyewa dua pesawat untuk melakukan penerbangan khas bagi menghantar pulang 367 rakyat India yang berada di pelbagai pusat tahanan Imigresen di seluruh negara.

Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kedua-dua penerbangan, yang dikendalikan Malaysian Airlines, melakukan perjalanan ke Amritsar dan Chennai, India.

"Pelaksanaan penghantaran pulang ini, yang menyaksikan kerjasama berterusan antara kerajaan Malaysia dan India, telah berjaya dilakukan hari ini.

“Penerbangan ke Amritsar berlepas pada 9.15 pagi waktu tempatan membawa 219 rakyat India manakala penerbangan ke Chennai berlepas pada 12.10 malam waktu tempatan membawa 148 rakyat India," katanya.

IKLAN

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Suruhanjaya Tinggi India telah menjalin kerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia bagi penghantaran pulang awal rakyatnya yang ditahan di negara ini.

Ia turut memaklumkan bahawa mulai 9 Mei hingga hari ini, kerajaan India telah mengendalikan sejumlah 27 penerbangan di bawah Misi Vande Bharat dari Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi di India bagi membolehkan rakyatnya yang terkandas pulang ke tanah air mereka dan setakat ini, seramai 4,679 rakyat India telah pulang ke India dengan penerbangan Vande Bharat.

Sumber : Bernama.

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN