Ikuti Kami:

Malam Terlarang: Zul Ariffin & Sofia Jane Terperangkap Dalam Dunia Mistik ‘Pamakbul’

Malam Terlarang: Zul Ariffin & Sofia Jane Terperangkap Dalam Dunia Mistik ‘Pamakbul’

Gabungan dua nama besar, Zul Ariffin dan Sofia Jane, dalam filem seram thriller terbaharu Malam Terlarang menjanjikan pengalaman sinematik yang berbeza apabila kisahnya menghidupkan kembali ritual mistik dan legenda dewi laut Nusantara, Pamakbul.

Diterbitkan oleh Astro Shaw dan diarahkan oleh pengarah baharu berbakat Nurhanisham Muhammad atau Labu, Malam Terlarang diinspirasikan daripada kisah benar misteri masyarakat tempatan yang sarat dengan unsur budaya, spiritual dan konflik emosi manusia.

Filem ini mengetengahkan tema “Bila Bertuhankan Nafsu”, memaparkan bagaimana manusia sanggup menentang fitrah demi mengejar kemahuan duniawi.

Berlatarkan era 1980-an, ia membawa penonton menelusuri kisah sebuah keluarga yang menyimpan rahsia hitam merentas generasi.

Filem ini mengisahkan Mawar (lakonan Shasha Abedul) terpaksa menangguhkan impian sebagai wartawan untuk menjaga ibunya Sarimah (Sofia Jane), sementara bapanya Omar (Zul Ariffin) sibuk dengan urusan politik.

Namun, selepas kematian misteri kakaknya Safar (Aila Azizul), Mawar mula diganggu oleh kejadian aneh dan entiti ghaib yang membawa kepada pembongkaran kisah gelap keluarga mereka.

Menurut Penerbit Eksekutif Astro Shaw Raja Jastina Raja Arshad, Malam Terlarang membawa elemen lokal yang unik dan jarang ditampilkan.

“Genre seram sentiasa mendapat tempat di hati penonton, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Malam Terlarang menggabungkan elemen kepercayaan masyarakat Nusantara seperti ritual pemujaan pantai yang jarang diketengahkan, menjadikannya naskhah seram tempatan yang segar dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya di tayangan perdana dan sidang media filem Malam Terlarang yang berlangsung di GSC Mid Valley, semalam.

Penerbit dan pencetus idea asal Hazo Mahayuddin pula menjelaskan bahawa ilham filem ini datang daripada konflik emosi yang dekat dengan masyarakat.

“Dari awal saya mahu menonjolkan konflik dalaman dan luaran manusia. Saya fikir sesuatu yang paling dekat dengan kita ialah rasa tidak menjadi anak mithali, mencari kasih sayang ibu bapa tapi tidak pernah merasa cukup,”

“Dari situ saya kembangkan cerita ini bersama Ariff Zulkarnain, Haris M. Nor dan Nazifdin Nasrudin,” katanya.

Sementara itu Penerbit Bersama Gayatri Su-Lin Pillai melihat kekuatan filem ini terletak pada mesej kekeluargaan dan nilai budaya.

“Cabaran setiap filem adalah menambat hati penonton. Kali ini kami mahu hasilkan cerita seram yang kuat dari segi emosi dan mesej.”

“Malam Terlarang bukan sekadar tentang hantu tapi tentang keluarga yang berpecah kerana kepercayaan kepada perkara tahyul. Ia cerminan budaya dan mistik Nusantara yang kaya dengan makna,” jelasnya.

Zul Ariffin yang membawa watak sebagai Omar, berkata wataknya dalam filem Malam Terlarang menuntut penghayatan emosi yang mendalam kerana jalan cerita bermula dengan tragedi yang menimpa sebuah keluarga.

“Saya rasa dalam skrip ini, tragedi berlaku sejak awal filem, bukan di pertengahan. Jadi, ketika masuk ke fasa itu, saya membayangkan bagaimana sesebuah keluarga berdepan musibah sebegitu. Graf emosi dalam cerita ini semakin lama semakin berat, semakin ‘depressing’.

“Biasanya, kita bermula dari bawah dan naik ke atas, tetapi dalam filem ini, perkembangan emosi semakin menekan dari satu babak ke babak lain,” katanya.

Sementara itu Sofia Jane yang memegang watak Sarimah melihat peranannya sebagai cerminan kepada legenda Pamakbul sendiri.

“Saya membesar dengan kisah mistik Nusantara dan ia ada kesan psikologi yang mendalam. Watak Sarimah ini menarik kerana dia hidup dalam dunia yang tidak nyata, terperangkap dalam kegilaan dan kuasa mistik. Saya cuba melihatnya sebagai cerminan kepada Pamakbul, seolah-olah Sarimah itu sendiri adalah dewi,” jelasnya.

Penggambaran Malam Terlarang dijalankan di Pantai Morib dan Kuala Selangor, menampilkan keindahan alam semula jadi seperti pesisiran pantai dan paya bakau. Rumah utama dalam filem turut dibina semula sepenuhnya bagi menyesuaikan suasana tahun 1980-an.

Filem ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon berpengalaman Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, bersama pelakon muda Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil.

Idea asal filem ini dicetuskan oleh Hazo Mahayuddin, Nazifdin Nasrudin, Haris M. Nor dan Ariff Zulkarnain, dengan penerbitan di bawah Infinitus Gold.

Tiket Malam Terlarang kini boleh didapati di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 27 Oktober, dengan tayangan rasmi pada 30 Oktober 2025.

Komen
Loading...